
Tuesday, October 27, 2015
Pastikan Prasarana Lapangan Terbang Langkawi Cukup Untuk Tampung Peningkatan Operasi – Mukhriz
LANGKAWI : Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan prasarana di
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi mencukupi untuk memenuhi
keperluan syarikat penerbangan AirAsia yang bercadang menjadikannya
sebagai hab operasi terbaharunya.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini
berkata persediaan awal perlu dibuat bagi memastikan kelancaran operasi
di lapangan terbang itu tidak terjejas biarpun berlaku peningkatan
jumlah operasi penerbangan.
“Kita kena pastikan sebelum itu prasarananya mencukupi dan sempurna
daripada peringkat awal ia bermula dan kita memang mengalu-alukan
sekiranya jadi kenyataan apa yang dihasratkan oleh AirAsia itu,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung Firefly dari Kota Bharu ke Langkawi.
AirAsia baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk menjadikan
Langkawi sebagai hab antarabangsanya bagi rantau ini menjelang hujung
tahun ini.
Mengumumkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia,
Aireen Omar berkata syarikatnya sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan
untuk meneliti bagaimana Langkawi dapat dibangunkan sebagai hab
antarabangsa rantau ini.
Sementara itu, Mukhriz berkata langkah Firefly memulakan penerbangan
Kota Bharu – Langkawi dapat meningkatkan lagi jumlah pelancong domestik
ke Langkawi khususnya dari kalangan rakyat di negeri-negeri Pantai
Timur.
Katanya pengenalan penerbangan itu juga dibuat pada masa yang tepat
memandangkan tahun depan telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat
Kedah.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata
sebagai permulaan, penerbangan ini akan dibuat tiga kali seminggu dan
akan ditambah kepada setiap hari jika permintaan memberangsangkan.
“Kita menjangkakan purata 3,600 penumpang akan menggunakan
penerbangan ini dalam setahun dan boleh meningkat lagi jika mengambil
kira musim puncak pelancongan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment