Tuesday, October 06, 2015
TPPA: Tiada Keputusan Dibuat Sehingga Dibahaskan Di Parlimen
KUALA LUMPUR : Malaysia telah meraih beberapa konsesi
menguntungkan daripada negara-negara terlibat dalam Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada perbincangan yang diadakan di
Atlanta, Amerika Syarikat (AS) yang berakhir semalam.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk mengambil kira
hampir semua kebimbangan dan sensitiviti Malaysia terutamanya dalam
bidang perolehan kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan isu-isu
bumiputera.
Katanya, unsur-unsur kelonggaran diberikan kepada Malaysia termasuk
tempoh peralihan lebih lama dan layanan berbeza untuk perkara-perkara
sensitif di negara ini.
Beliau menegaskan, Malaysia tidak akan terlibat dalam perjanjian
tersebut jika ia melanggar Perlembagaan negara atau menjejaskan
dasar-dasar teras yang dimulakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat
kepada rakyat.
“Sama ada Malaysia menandatangani TPPA (atau tidak) hanya akan
diputuskan selepas perbincangan penuh dan meluas di dalam negara. Biar
saya tegaskan bahawa sama ada Malaysia akan terlibat dalam TPPA, ia akan
menjadi keputusan kolektif.
“Apabila teks lengkap dan rasmi perjanjian itu disediakan, ia akan
berada dalam domain awam dan dibentangkan di Parlimen untuk perbahasan.
Kami juga akan mengadakan rundingan penuh dengan pihak-pihak yang
berkepentingan dan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini
malam ini.
Beliau berkata, perundingan berhubung TPPA yang mencapai persetujuan
semalam di Atlanta itu menandakan tamatnya rundingan perjanjian
berkenaan yang bermula pada 2010. Barisan menteri negara terlibat
bersama semua ketua perunding masing-masing telah bekerja sepanjang masa
sejak 30 September selepas perundingan peringkat ketua perunding
mesyuarat dijalankan sejak 26 September.
Negara-negara terlibat TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile,
Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.
Mustafa berkata:
“Dalam perjalanan rundingan, saya telah mengambil bahagian daripada
30 September hingga 1 Oktober lalu, saya berkomunikasi secara berterusan
dengan Perdana Menteri, mengemas kini kepada beliau mengenai kemajuan
serta mencari petunjuk dan mandat untuk memastikan kedudukan dan
kepentingan Malaysia dilindungi.
“Walaupun selepas saya meninggalkan Atlanta untuk penugasan rasmi di
Milan dan Istanbul, saya terus memantau perbincangan dan sentiasa
berunding dengan Perdana Menteri dan disampaikan bimbingan beliau
serta-merta kepada ketua perunding kami dan pasukannya di Atlanta,” kata
beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment