Friday, January 08, 2016

1MDB : DPMM Jangan Terperdaya Dakyah Pembangkang - MB Johor

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang mengaitkan penjualan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) termasuk ekuiti Bandar Malaysia kepada syarikat China, sebagai seolah-olah menggadai maruah negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata DPMM seharusnya bersikap rasional kerana apa yang dilakukan pengurusan 1MDB itu adalah perjanjian jual beli telus tanpa niat terselindung atau memberi impak negatif kepada negara.

Bernama melaporkan Khaled berkata penyertaan pelabur dari China tidak akan menguasai atau memonopoli pembangunan Bandar Malaysia seperti yang digembar-gemburkan pembangkang.

"Tahap pemikiran kita sudah hendak masuk negara maju, kenalah fikir secara mendalam dan logik rasional. Jangan terperangkap dengan permainan politik pembangkang," kata beliau kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden DPMM, Datuk Dr Syed Ali Alattas semalam.

Mengikut satu laporan portal, Syed Ali seolah-olah memberi peringatan kepada Putrajaya berhubung amanah yang dipegang pentadbiran negara di sebalik penjualan aset 1MDB seperti penjana tenaga bebas dan ekuiti Bandar Malaysia kepada syarikat China.

Mohamed Khaled turut memberi penjelasan pembelian saham dalam Bandar Malaysia seperti yang dilaporkan baru-baru ini merupakan peluang bagi kerajaan negeri Johor untuk bergiat aktif dalam ekonomi negara sekali gus memberi pulangan kepada rakyat negeri ini secara amnya.

Terdahulu, Menteri Besar merasmikan cawangan baru Restoran Burger King di Batu Pahat.

Pada 31 Disember, 1MDB mengumumkan menandatangani perjanjian jual beli saham melibatkan penjualan 60 % pegangan Bandar Malaysia pada harga RM7.41 bilion kepada konsortium IWH-CREC Sdn Bhd yang membabitkan usaha sama 60:40 antara IWH dan CREC.

IWH yang merupakan pemaju utama bahagian "Flagship" A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar, adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resources Sdn Bhd (60%) dan KPRJ (40%) yang dimiliki kerajaan negeri Johor.

CREC adalah firma kejuruteraan dan pembinaan yang merupakan syarikat pegangan milik China.

Bandar Malaysia yang akan dibangunkan dalam tempoh 15 hingga 25 tahun dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM150 bilion, bakal muncul mercu tanda antarabangsa baharu Malaysia apabila siap kelak. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment