Friday, January 08, 2016
Jika Syarikat Malaysia Buat Pelaburan Di Vietnam, Apakah Vietnam Menjual Negaranya?
KUALA LUMPUR : Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara,
Prof. Madya Dr. Ismail Sualman menyifatkan dakwaan yang mengatakan
kerajaan menjual aset negara berhubung urus niaga yang melibatkan
penjualan saham Bandar Malaysia sebanyak 24 peratus kepada syarikat
China dalam usaha membangunkan projek tersebut hanyalah manipulasi pihak
tertentu atas tujuan politik semata-mata.
Menurut beliau, perkara tersebut telah diviralkan di media sosial
seperti whatsapp, facebook dan lain-lain oleh pihak yang berkepentingan
di dalam politik adalah bertujuan untuk menimbulkan persepsi negatif di
kalangan rakyat terhadap isu tersebut.
“Kalau kita tengok di media sosial itulah kata mereka, namun
hakikatnya sama sekali tidak benar. Bagi saya perjanjian itu tidak ada
masalah kerana itu adalah transaksi dan proses dalam perniagaan dan
bukanlah dilihat sebagai penjualan aset negara.
“Jika
kita lihat di Wilayah Iskandar yang sedang dibangunkan, sama juga
ceritanya. Di Wilayah Iskandar juga ada aset-aset yang dimiliki oleh
syarikat-syarikat luar negara. Sama juga cara perniagaannya. Begitu juga
di Pulau Pinang di mana kerajaan Pulau Pinang menjual saham dan tanah
kepada syarikat-syarikat luar.
“Mengapa mereka mahu mempertikaikan hubungan kerjasama 1MDB dengan
syarikat China tetapi tidak pula mempertikaikan Wilayah Iskandar dan
juga tindakan kerajaan Pulau Pinang yang juga mempunyai situasi urusan
perniagaan yang sama dengan syarikat-syarikat luar negara dari negara
yang sama,” jelasnya kepada pihak media di sini hari ini.
Jelasnya lagi, sebagai contoh sekiranya syarikat dari Malaysia
membuat pelaburan di luar negara contohnya di Vietnam dan di
negara-negara lain, apakah negara-negara tersebut dianggap menjual aset
negaranya kepada syarikat Malaysia kerana urusan perniagaan yang berlaku
antara mereka?
“Katakanlah syarikat YTL membuat perlaburan di negara lain contohnya
Vietnam. Sudah tentu ianya terbabit dengan penjualan saham dan
sebagainya. Adakah Vietnam dikira menjual aset negara dengan menerima
pelaburan daripada syarikat di Malaysia?
“Begitu juga jika kita membuat projek landasan keretapi contohnya di
India, apakah India telah menjual aset negaranya kepada kita? ? Sudah
tentu tidak. Samalah juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan
berhubung bandar Malaysia hari ini.
“Negara kita mempunyai undang-undang. Segala urusan dan transaksi
perniagaan juga mengikut undang-undang. Saya yakin, bahawa pemimpin
negara bukanlah terdiri di kalangan mereka yang senang-senang mahu
menjual aset negara. Saya yakin, mereka ada penasihat undang-undang dan
mereka faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan
bermaruah,” tegasnya.
Justeru itu beliau mengingatkan rakyat di negara ini agar menyelidik
terlebih dulu maklumat yang disampaikan melalui media sosial agar ianya
tidak menjadi salah faham dan menimbulkan persepsi yang salah terhadap
usaha kerajaan.
“Kita perlu berhati-hati dengan maklumat di media sosial. Bukannya
semua benar belaka. Kita sebagai orang awam bukannya tahu sepenuhnya
tentang urusan kerajaan yang melibatkan perniagaan dengan negara atau
syarikat luar.
“Justeru itu, adalah lebih baik kita meneliti terlebih dulu dengan
mencari fakta-fakta lain berhubung sesuatu isu tersebut agar kita boleh
menilai sebarang maklumat yang sampai kepada kita dengan lebih rasional
dan berasaskan fakta, dan bukannya berdasarkan sangkaan dan emosi
semata-mata,”ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment