Thursday, January 07, 2016

Alhamdulilah dah Tu..... PAS Kelantan Tidak Tolak Kerjasama Dengan UMNO

Pas Kelantan tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan UMNO untuk menentang PAN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) biarpun Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun menjelaskan sehingga kini tidak ada sebarang perbincangan dibuat dengan UMNO untuk mewujudkan kerjasama tersebut.


“Kita tidak pernah bincang sampai ke situ lagi tetapi dalam dunia ini, semua perkara boleh berlaku. Kalau nak kata tak mungkin, kita tak tahu… sebab benda ini mungkin berlaku… tapi tak pernah bincang lagilah.


“Kerjasama Pas dengan UMNO sekarang lebih kepada isu melibatkan kepentingan agama, umat Islam dan negara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Pas Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PAN negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa pihaknya mahu bertanding di negeri ini dan bersedia berunding dengan Pas bagi mengelak pertembungan tiga penjuru dalam PRU-14.


Pada masa yang sama Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas menegaskan keputusan pihaknya untuk tidak bekerjasama dengan PAN adalah muktamad meskipun parti itu mungkin tewas dan kehilangan negeri ini dalam PRU-14.


“Bukan soal kalah atau menang, soalnya asas pendirian kita adalah tidak akan ada sebarang kerjasama atau rundingan dengan PAN. Kalau PAN nak bertanding, maka kita akan berdepanlah… tiga penjuru ke, empat penjuru ke.


“Keputusan kita serah kepada rakyat, kalau ditakdirkan Allah SWT kita menang, kita menanglah. Kalau kalah nak buat macam mana,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman Majlis Syura Ulama Pas bahawa parti itu tidak akan menyertai BN diharap dapat menghentikan spekulasi tentang gabungan kedua-dua parti tersebut.


Ditanya mengenai tindakan DAP, PKR dan PAN mahu memuktamadkan perjanjian tanpa penglibatan Pas, Mohd. Amar berkata, Pas tidak pernah rasa disisihkan kerana parti itu sendiri yang membuat keputusan untuk tidak menyertai gabungan tersebut.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment