Tuesday, January 12, 2016

Anggota Parlimen Diharap Bahas Isu TPPA Secara Objektif, Profesional – Mustapa


KUALA LUMPUR : Anggota Parlimen diharap membahaskan usul Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) secara objektif dan profesional pada persidangan khas di Parlimen mengenai perkara itu hujung bulan ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata berdasar penerimaan baik anggota Parlimen pada sesi taklimat hari ini, beliau yakin tidak ada sebab untuk mereka tidak memahami atau bertanya pelbagai soalan tidak berasas pada sesi itu kelak.
“Saya gembira sebab ramai yang datang dan bertanya soalan dan saya telah memberi penerangan pada setiap soalan dan mereka faham.
“Soal sama ada mereka akan sokong atau tidak di Parlimen itu hak mereka…tapi apa yang penting perbahasan (sidang khas) berlaku secara objektif
dan profesional,” katanya selepas sesi taklimat TPPA kepada anggota Parlimen di sini, hari ini.
Persidangan khas selama tiga hari akan diadakan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula 26 Jan ini bagi membincangkan penyertaan Malaysia dalam TPPA.
Malaysia dan 11 lagi negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Okt 2015.
Kandungan TPPA dan dua kajian impak akan dibentangkan di Parlimen memandangkan ia memerlukan kelulusan Parlimen sebelum diratifikasikan dalam tempoh dua tahun selepas ditandatangani.
Berdasar sesi taklimat hari ini, Mustapa turut merumuskan segelintir anggota Parlimen hanya memahami isu TPPA secara dasar, menyebabkan timbulnya kerisauan dan kebimbangan, khususnya bersabit kepentingan negara apabila perjanjian itu ditandatangani kelak.
“Tapi selepas diberi penjelasan, mereka gembira, malah ada yang mengakui bahawa TPPA ini tidaklah merugikan seperti yang dijangka,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad turut menasihatkan anggota Parlimen agar tidak terlalu emosi ketika membahaskan usul itu.
Shahrir juga berharap rakyat dapat mengikuti perbahasan itu dengan dekat untuk mendengar sendiri segala penjelasan berhubung TPPA agar tidak mudah dimomokkan dengan pelbagai dakyah yang disebarkan pihak tertentu.
Selain itu, katanya perbentangan TPPA di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menyaksikan satu perjanjian perdagangan dibahaskan secara terbuka merupakan satu sejarah kerana ia bukan amalan biasa.
Mengulas taklimat itu, Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui sesi itu memberi jawapan kepada banyak persoalan yang dibangkitkan.
“Sesi penerangan ini baik, menteri beri jawapan kepada setiap soalan yang dikemukakan baik daripada anggota Parlimen Barisan Nasional mahupun pembangkang, tapi banyak lagi yang perlu kita lihat apa yang tersirat di sebalik TPPA ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya ia tidak merubah pendirian pembangkang untuk menolak perjanjian itu pada sidang khas Parlimen nanti.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment