Tuesday, January 12, 2016

Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Memberangsangkan – Penganalisis


KUALA LUMPUR : Pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah memberangsangkan dalam konteks kemelut ekonomi dan pasaran antarabangsa masa kini, kata Ketua Penyelidik MIDF Amanah Investment Bank Bhd Zulkifli Hamzah.
Beliau berkata walaupun dunia kini menghadapi kejatuhan harga komoditi terutamanya minyak, namun Malaysia masih mampu menjana pertumbuhan, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.
“Kejatuhan nilai Ringgit walaupun dipandang negatif oleh rakyat amnya, telah membawa manfaat kepada industri eksport terutamanya yang berasaskan sumber.
“Paling penting ialah mengekalkan momentum pertumbuhan. Walaupun menghadapi cabaran, momentum pertumbuhan Malaysia adalah lebih baik daripada Singapura (tahun lepas),” katanya kepada Bernama hari ini.
Zulkifli merujuk laporan Bloomberg semalam yang mengunjurkan Malaysia berada pada kedudukan ke-13 dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  sepanjang 2016 dengan kadar pertumbuhan 4.5 peratus.
Laporan itu juga mengunjurkan kadar kemungkinan kemelesetan ekonomi Malaysia pada sekitar 10 peratus.
Laporan Moody’s Investors Service (Moody’s) pula menjangkakan bahawa Malaysia berpotensi mencatatkan pertumbuhan lebih pantas berbanding negara penarafan ‘A’ yang lain pada tahun ini dan untuk tempoh sederhana walaupun berhadapan dengan harga komoditi rendah, sentimen lemah perniagaan dan pengguna serta pertumbuhan suram rakan dagangan terbesar negara menimbulkan risiko penurunan penting dalam permintaan eksport dan domestik.
Menurut firma penarafan global itu, kebanyakan asas dalam ekonomi Malaysia kekal mantap meskipun menempuhi pelbagai cabaran sejak beberapa tahun lalu.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata sentimen terhadap negara secara amnya adalah lebih baik berbanding tahun lepas.
“Semua lebih stabil tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Profesional Pemuda UMNO Shahril Hamdan laporan itu membuktikan bahawa asas ekonomi negara masih kukuh untuk pertumbuhan seterusnya.
Katanya pertumbuhan pada kadar 4.5 peratus itu dilihat masih tinggi daripada angka pertumbuhan global yang hanya pada paras 2.9 peratus mengikut laporan Bank Dunia semalam.
“Semua ini menggambarkan pengemudi ekonomi makro yang baik oleh kerajaan. Meskipun berdepan cabaran kejatuhan harga minyak dan kelembapan ekonomi China, Malaysia masih dilihat sebagai negara yang berada dalam kedudukan stabil berbanding negara-negara maju di Asia seperti Jepun, Taiwan dan Korea Selatan yang mempunyai kebarangkalian kemelesetan ekonomi jauh lebih tinggi daripada Malaysia.
“Tetapi cabaran sebenar buat kerajaan adalah pengemudian ekonomi mikro iaitu situasi ekonomi buat rakyat di negara ini. Dengan kenaikan kos sara hidup, ditambah dengan pengurangan pekerja melalui skim VSS (Skim Pengasingan Sukarela) yang terpaksa diambil syarikat-syarikat bagi menstruktur semula operasi dalam iklim ekonomi yang sukar,” katanya kepada Bernama.
Shahril berkata apa yang penting ialah segala usaha kerajaan dalam membela kebajikan dan meningkatkan daya saing rakyat perlu diteruskan menerusi pelbagai skim dan program yang ditawarkan kini.
“Contohnya program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang merupakan program untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran atau keupayaan graduan untuk mendapat pekerjaan.
“Harapan saya, sebarang rasionalisasi (pengubahsuaian) Belanjawan 2016 oleh kerajaan kelak akan mengambil kira perkara-perkara ini,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment