
Sunday, January 10, 2016
Faedah Empat Peratus Pinjaman Perumahan Kekal

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kadar
faedah empat peratus ke atas pinjaman perumahan penjawat awam kekal
meskipun Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) diperbadankan menjadi Lembaga
Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bermula 1 Januari lalu.
Perdana Menteri berkata, kemudahan lain termasuk jumlah kelayakan pinjaman juga dikekalkan.
“Ingin saya tegaskan di sini, kemudahan yang dinikmati oleh penjawat
awam seperti jumlah kelayakan pinjaman, kadar faedah ke atas pinjaman
perumahan iaitu sebanyak empat peratus dan kemudahan lain adalah
dikekalkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Khas
Kementerian Kewangan di sini hari ini.
LPPSA yang diperbadankan bermula 1 Januari lalu merupakan sebuah
badan berkanun yang bertanggungjawab bagi mengurus semua perkara
berkaitan pinjaman perumahan penjawat awam.
Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan akan membuka lapan lagi
Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara pada tahun ini
sebagai tambahan kepada 10 UTC yang sedia ada yang telah pun memberi
perkhidmatan kepada 10.3 juta orang.
“Insya-Allah, bagi tahun 2016 ini, kita akan lihat lapan UTC akan
siap sepenuhnya, antaranya, UTC Labuan, UTC Sungai Petani, UTC Miri, UTC
Sibu dan UTC Kelantan,” katanya.
Dalam perkara lain, beliau memberitahu, program ‘Bumipreneurs for
Tomorrow’ (Bahtera) yang bermatlamat menggalakkan bumiputera dalam
bidang keusahawanan akan diperluaskan tahun ini berikutan kejayaannya
tahun lalu dalam menarik kehadiran 15,000 orang peserta.
Sementara itu, dalam ucapannya, Najib turut mengucapkan tahniah
kepada semua warga Kementerian Kewangan atas kejayaan kementerian
berkenaan mendapat penarafan empat bintang dalam Pengauditan Indeks
Akauntabiliti bagi Tahun 2014.
“Ini menunjukkan bahawa Kementerian Kewangan mampu untuk menguruskan kewangan dengan cekap, teratur dan berintegriti,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment