
Thursday, January 07, 2016
GST Penyelamat Ekonomi Negara – Najib

PUTRAJAYA : Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang
mula dilaksanakan pada April tahun lepas, dari segi makronya merupakan
penyelamat kepada kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhannya, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelaksanaan GST telah
mendapat kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion dengan unjuran kutipan
bersih RM27.126 bilion pada Disember 2015.
Kutipan bersih GST itu dianggarkan meningkat kepada RM39 bilion pada
tahun ini, katanya pada perhimpunan khas Kementerian Kewangan di sini
hari ini.
“Pelaksanaan GST dari segi aspek makro menampung hasil kerajaan
daripada pengurangan hasil cukai petroleum. Maka, tidaklah salah kalau
saya menyatakan bahawa dari segi makro, GST merupakan penyelamat kepada
keadaan kewangan dan ekonomi negara pada keseluruhan,” katanya.
Najib berkata harga minyak juga dijangka kekal rendah pada tahun ini
dengan penyusutan pendapatan kerajaan dianggarkan lebih RM30 bilion.
Beliau berkata kalau harga minyak kekal pada paras US$32.35 atau US$36 setong, penyusutannya adalah lebih RM30 bilion.
“Bagi US$1 jatuh dari paras yang sebelumnya bererti bahawa kita berkurangan RM300 juta dari segi hasil kerajaan,” katanya.
“Inilah keadaan yang kita berdepan dan kalau tiada GST, maka
defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1
peratus pada tahun ini,” katanya.
Dengannya ada hasil tersebut, Najib berkata kerajaan dapat
melaksanakan projek-projek pembangunan seperti jalan raya, hospital,
sekolah, memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sebagainya kepada
rakyat.
Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang
melampau, beliau berkata kerajaan meneruskan program BR1M yang
memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan
peruntukan RM5.9 bilion.
Sehubungan itu, beliau menyaran agar kakitangan Kementerian Kewangan
menerangkan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan projek-projek
pembangunan, kemudahan pendidikan dan kesihatan merupakan subsidi
tersembunyi atau tidak langsung yang disediakan kerajaan.
Beliau memberikan contoh perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan
iaitu bayaran untuk pesakit luar hanya dikenakan RM1, bertemu pakar RM5
dan rawatan ‘bypass’ pula RM500.
“Ramai masih tidak sedar dan mengambil kesempatan selama ini,” katanya.
Najib dalam pada itu berkata di bawah Strategi Lautan Biru
Kebangsaan (NBOS), lapan lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan siap
sepenuhnya tahun ini termasuk di Labuan, Sungai Petani (Kedah), Miri dan
Sibu (Sarawak) serta Kelantan.
Beliau berkata perkhidmatan UTC banyak menyumbang kepada
pelaksanaan program-program berunsurkan ‘Ekonomi Rakyat’, khususnya yang
membawa faedah besar kepada rakyat Malaysia.
Di bawah NBOS juga, hampir 200,000 penduduk pedalaman
mendapatkan perkhidmatan di Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile
CTC) dan 77 program berjaya dilaksanakan pada tahun lepas, katanya.
Sementara itu, Najib juga memberi jaminan bahawa peralihan
Bahagian Perumahan (BPP) kepada Lembaga Pembiayaan Sektor Awam (LPPSA)
bermula 1 Jan tidak melibatkan sebarang dasar baharu dan perubahan terma
Skim Pinjaman Perumahan.
“Kemudahan yang dinikmati oleh penjawat awam seperti jumlah
kelayakan pinjaman, kadar faedah ke atas pinjaman perumahan iaitu
sebanyak empat peratus dan kemudahan-kemudahan lain adalah dikekalkan,”
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment