
Thursday, January 07, 2016
Teras Bimbang Ada Pihak Burukkan Politik Di Sarawak

KUCHING : Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), parti
mesra Barisan Nasional (BN), bimbang terdapat individu atau kumpulan
kecil yang mempunyai kepentingan dan cita-cita peribadi yang mengaburi amalan politik yang baik.
Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata Teras, di bawah
nasihat dan bimbingan pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem, mahu
pihak berkenaan menghentikan tindakan tersebut yang bukan dalam
kepentingan pakatan itu sama sekali.
William yang juga Menteri Pembangunan Sosial negeri berkata demikian
pada majlis makan malam sebagai penghargaan kepada media tempatan yang
menyokong parti itu di sini malam tadi.
“Terdapat perbezaan dalam kalangan sahabat dalam parti tertentu atau
rakan daripada parti berlainan mengenai beberapa perkara atau isu.
“Tetapi, ia bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan walaupun
ia akan membabitkan beberapa kompromi. Apa yang lebih penting ialah
masalah dalaman ini tidak boleh mengatasi kepentingan cabaran dan
matlamat BN negeri yang lebih besar,” katanya.
Teras merupakan parti serpihan Parti Demokratik Progresif Sarawak
(SPDP) yang diterajui anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King
Sing.
William berkata Teras “berterima kasih dengan kepimpinan BN negeri di
bawah Tan Sri Adenan atas kepercayaan dan keyakinannya terhadap parti
itu”.
“Empat wakil rakyat yang memegang jawatan menteri kanan dan pembantu
menteri menunjukkan kehadiran kami dalam kerajaan negeri amat bermakna.
Ia merupakan manifestasi peranan dalam membentuk dan menggubal dasar
kerajaan masa kini.
“Kami juga bangga ramai pemimpin akar umbi yang berkhidmat untuk
rakyat dengan baik sebagai anggota majlis daerah tempatan dan
jawatankuasa pembangunan di kedua-dua peringkat bahagian dan daerah,”
katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa Teras akan bergerak ke hadapan dengan
komitmen penuh bersama BN membantu menyampaikan mandat besar kepada BN
negeri pada pilihan raya akan datang.
“Minda kita perlu ditetapkan untuk mencapai matlamat lebih besar.
Usaha kita perlu fokus kepada menguatkan perpaduan dan kestabilan serta
meluaskan sokongan akar umbi terhadap BN.
“Semua ini akan mewujudkan persekitaran politik yang kondusif untuk
ketua menteri dan parti memerintah agar diberi mandat baharu dan lebih
besar oleh rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment