Thursday, January 07, 2016

Isu Tender Balak : Siapa Sebenarnya Yang Cuba Berputar Belit?

KUALA LUMPUR : Perang mulut antara bekas pimpinan PKR, yang kini Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam beberapa kontroversi termasuk terbaru projek pembalakan di negeri berkenaan menimbulkan seribu satu pertanyaan.

Sudah pasti dalam pertembungan tersebut, masyarakat umum akan tertanya-tanya siapakah sebenarnya  yang berputar belit terhadap isu yang dibangkitkan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, YB Halimahton Hj Borhan berkata jika sebelum ini pakatan pembangkang sentiasa mengasak kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menjawab pelbagai isu yang ditimbulkan tetapi apabila terkena batang hidung sendiri mereka nampaknya ternyata gagal menanganinya dengan matang dan telus.
isu tender balak 
Jelasnya apa yang beliau lihat dalam isu yang ditimbulkan Chegu Bard, kerajaan Selangor pimpinan Azmin kelihatan cuba lepas tangan dan gagal memberi penjelasan yang meyakinkan.

“Azmin gagal menjawab persoalan sebenar yang dilemparkan sebaliknya cuba menempelak pihak yang menimbulkan persoalan.  Jika sebelum ini pakatan pembangkang mengasak dan terus mengasak isu yang dilemparkan kepada kerajaan BN walaupun isu-isu tersebut telah dijawab tetapi bila terkena kepada pihak mereka ternyata mereka bukan sahaja gagal menjawab malah sentiasa berdolak dalih.

“Kalau benar isu yang ditimbulkan Chegu Bard itu tersilap, Azmin patut beri penjelasan terperinci dan sekiranya ia semata-mata fitnah untuk memburukkan kerajaan negeri maka sepatutnya satu tindakan undang-undang segera diambil,” katanya kepada pihak media, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi jika isu tuduhan berkenaan dibiarkan berlarutan maka sudah pasti rakyat terutama di negeri ini terus tertanya-tanya siapakah sebenarnya pembohong dan berputar belit.

Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin dilaporkan hari ini mendakwa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak faham pentadbiran atau cuba menutup sesuatu dengan memberi kebenaran projek pembalakan di negeri itu.

Utusan Malaysia melaporkan Badrul berkata demikian susulan cabaran Azmin supaya beliau menyerahkan bukti projek pembalakan diberi kepada dua syarikat tanpa melalui proses tender kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata SPRM tiada sebarang kaitan dalam isu ini kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa menganugerahkan projek sama ada melalui tender terbuka, tender terpilih, sebut harga atau rundingan terus.

Pada 18 Disember, Badrul Hisham memberi tempoh 14 hari kepada Pejabat Menteri Besar dan Jabatan Perhutanan Selangor menjelaskan tentang projek pembalakan itu.

Projek pembalakan itu untuk membersihkan kawasan hutan bagi projek jajaran talian penghantaran elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sungai Terentang, Rawang dan Mahkota Cheras.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment