Thursday, January 07, 2016
Kastam Sasar 100,000 Pendaftaran GST Tahun Ini
PUTRAJAYA : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan
100,000 pendaftaran individu, syarikat atau perniagaan baharu bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun ini, kata Ketua Pengarah Datuk Seri Khazali Ahmad.
“Kami perlu pergi kepada kumpulan ini daripada menunggu mereka
untuk mendaftar. Sejak 2014, kami memberikan masa yang lebih daripada
cukup untuk mendaftar. Mereka perlu memenuhi keperluan undang-undang.
Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya di Ibu Pejabat
JKDM di sini hari ini.
Setakat ini terdapat 400,519 yang berdaftar dengan GST.
Mengikut Seksyen 20 Akta Cukai dan Perkhidmatan (Akta CBP) 2014,
individu, syarikat atau perniagaan perlu didaftarkan secara mandatori
iaitu mencapai pembekalan bercukai melebihi RM500,000.
Bagaimanapun, perniagaan yang mempunyai perolehan bercukai RM500,000
ke bawah, walaupun tidak dikehendaki berdaftar, mereka boleh memohon
untuk berdaftar secara sukarela.
Khazali berkata Ops Jejak GST 2016 akan bermula 17 hingga 22 Januari
ini bagi mengesan individu, syarikat atau perniagaan yang layak
berdaftar GST tetapi masih gagal berbuat demikian.
Seramai 1,500 pegawai dari Bahagian GST di seluruh negara digerakkan dalam Ops Jejak GST 2016 itu, katanya.
“Kita nasihatkan mana-mana individu dan syarikat yang mencapai
pembekalan bercukai secara mandatori agar terus berdaftar dengan segera
untuk mengelak kesulitan pada masa akan datang,” katanya, sambil
menambah, mereka yang gagal berdaftar akan berdepan kompaun RM15,000.
Sepanjang tempoh operasi, semua pegawai GST beruniform penuh
akan mengeluarkan kompaun kepada individu dan syarikat yang melanggar
undang-undang dan semua pembayaran perlu dilakukan di pejabat-pejabat
kastam.
Katanya Ops Jejak GST 2016 juga akan mengesan individu yang berdaftar
GST tetapi gagal mengeluarkan invois cukai atau invois yang tidak
mengandungi butir-butir yang ditetapkan, yang merupakan satu kesalahan
di bawah Seksyen 33 Akta CBP 2014.
Beliau berkata ia menyebabkan nilai GST tidak dapat dimasukkan ke dalam akaun GST.
Kompaun akan dikeluarkan serta merta terhadap mereka yang gagal mematuhi peruntukan tersebut mulai 15 Januari ini, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment