
Tuesday, January 12, 2016
Kementerian Pendidikan Cadang Ubat Format UPSR Seperti PT3 – Mahdzir Khalid

PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan bercadang mengubah format
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 40 peratus
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan 60 peratus peperiksaan seperti
pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian
akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan secara
berperingkat pada tahun ini bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap
cadangan itu.
“Sebenarnya, cadangan ini kita hampir laksanakan tetapi ditangguhkan. Jadi, boleh cuba kemukakan semula.
“Dalam setahun ini, kementerian akan berjumpa semua pihak terlibat.
Jika mereka setuju, ia akan dilaksanakan,” katanya selepas menyampaikan
perutusan tahun baharu 2016 kementerian, di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata gelombang kedua Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula 2016 hingga 2020 akan menentukan
kejayaan sistem pendidikan negara bukan sahaja dari aspek akademik malah
psikometrik, kokurikulum dan pembinaan insan.
“Jika suatu hari nanti kombinasi dalam PBS menjadi lebih berkesan,
itulah pelajar yang kita kehendaki untuk masa depan bukan sahaja
berasaskan akademik semata-mata,” kata Mahdzir.
Dalam masa yang sama, beliau berkata aspek pengajaran dan
pembelajaran juga perlu diberi tumpuan bagi mengekalkan keharmonian
dalam sistem perguruan.
Untuk itu, katanya, komunikasi dua hala antara kementerian dan
semua peringkat kepimpinan sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri
perlu dipertingkatkan.
“Jika ada idea yang lebih baik, beritahulah kepada kementerian, saya
boleh terima. Tak perlu tunggu sahaja arahan atau pekeliling dari
kementerian.
“Menteri dan semua peringkat tertinggi kementerian ini, kami
berkhidmat untuk pihak sekolah. Kementerian bekerja untuk menentukan
kejayaan sekolah,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment