
Tuesday, January 12, 2016
Jangan Terpengaruh Dengan Berita Palsu – Timbalan Presiden CUEPACS

KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan penjawat awam berstatus
kontrak agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan berita tidak sahih
bahawa kononnya perkhidmatan mereka akan ditamatkan menjelang Disember
tahun ini.
Timbalan Presiden II CUEPACS Mohd Shaman Jaes berkata Ketua
Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa telah menafikan berita itu
dan menegaskan bahawa ia adalah palsu dan fitnah daripada individu tidak
bertanggungjawab.
Mohd Shaman berkata berita tersebut sengaja diadakan bagi membangkitkan sentimen di kalangan penjawat awam terhadap kerajaan.
“Setiap masa akan ada sahaja isu yang sengaja diada-adakan oleh pihak
yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk memecahbelahkan hubungan
baik penjawat awam dengan kerajaan.
“Sangat penting bagi penjawat awam untuk memastikan berita yang
diterima adalah sahih dan dalam hal ini, mereka seharusnya mendapat
kepastian daripada CUEPACS atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) daripada
terus mempercayainya dan kemudian menjadikannya viral di media sosial,”
katanya kepada Bernama hari ini.
Semalam, sebuah portal melaporkan bahawa penjawat awam yang
berstatus kontrak tidak akan disambung dan ditamatkan perkhidmatan
sepenuhnya bermula Disember ini.
Menurut portal yang memetik kenyataan sumber itu, maklumat berkenaan diperoleh daripada satu mesyuarat awal pagi Isnin.
Mohd Shaman berkata kebajikan dan nasib semua penjawat awam, yang
kini berjumlah 1.6 juta, termasuk yang berstatus kontrak tetap mendapat
pembelaan sewajarnya daripada CUEPACS dan kerajaan.
“Jika benar pun kerajaan mahu menamatkan kontrak mereka, sudah pasti
perkara itu dibincangkan bersama-sama dengan CUEPACS, bukan mudah mahu
tamatkan begitu sahaja,” katanya.
Ali dalam kenyataannya menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menamatkan khidmat kakitangan kontrak tahun ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment