Tuesday, January 12, 2016

Mengada-Ngada Dan Kurang Kualiti, Itu Kriteria Siswa-Siswi Di Zaman Ini?

Kita yakin bahawa jika dikatakan para pelajar institusi pengajian tinggi di zaman ini sebagai 'manja' dan 'mengada-ngada', mungkin ramai di kalangan mereka yang marah, menafi dan tidak bersetuju dengan pandangan ini.

Malah mungkin kerana enggan menerima hakikat kelemahan mereka itu, mungkin ada yang memaki hamun kita dengan kata-kata nista yang tidak enak didengar. Namun berdasarkan penelitian penulis, itulah hakikat pahit yang perlu mereka sedar dan telan.

Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan sebuah insiden, kononnya seorang pelajar IPT hampir 'maut' kerana tidak makan. Ada pula yang di kalangan pelajar yang menambah cerita kononnya usus pelajar itu pecah akibat kezaliman kerajaan Malaysia.

Lebih menjengkelkan, ada pula yang menambah 'perisa' kononnya pelajar berkenaan akan terburai ususnya jika dibiarkan sehari lagi tidak makan. Macam-macam versi tokok tambah yang terbit dari 'wartawan-wartawan Facebook' yang rata-ratanya terdiri dari adik-adik siswa-siswi 'separa matang' di laman-laman sosial.

Padahal, cerita sebenarnya sangat 'simple' dan tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Atikah, pelajar dari Sabah itu sebenarnya menghidap gastrik sejak tingkatan satu dan meluahkan rasa malu tentang kisah palsu mengenai dirinya 'viral' menjadi bahan 'fitnah' di laman sosial.

Soalnya, inikah bentuk pemikiran budak-budak di universiti di zaman ini? Lain yang berlaku, lain yang mereka bualkan? Lain yang berlaku, mereka tokok tambah dengan cerita rekaan sendiri sambil menjaja pembohongan di mata dunia?

Apakah ini kualiti yang ada pada siswa-siswi di zaman ini? Jika inilah kualitinya, maka jangan terkejut nanti timbul pula cerita kucing jatuh longkang, tapi mereka jaja cerita kucing itu ditembak mati pasukan UTK dari PDRM sebelum digilis kereta api laju ETS!

Kita sendiri ramai yang pernah bergelar siswa. Namun sepanjang pengalaman kita, boleh dikatakan majoriti kami tidak pernah mengadu atau mengeluh sedikit pun sekiranya ditimpa kesusahan atau masalah. Jika musibah berlaku, kami akan sama-sama tolong menolong antara satu sama lain mengatasi musibah tersebut.

Pernah berlaku di zaman kami dulu di mana beberapa orang di kalangan kami yang tidak jumpa nasi selama beberapa hari. Malah mereka yang dihimpit kesusahan itu langsung tidak mengeluh atau menceritakan keadaan mereka, sehinggalah kami menyedari tentang kesusahan mereka.

Hari keempat tidak jamah nasi, barulah kami sedari tentang insiden ikat perut tersebut. Apa kami buat? Kami kongsikan nasi bungkus kami. Malah ada yang hulurkan wang pada sahabat-sahabat kami yang rata-ratanya kini bergelar peguam dan hakim.

Kami langsung tidak tahu tentang erti 'mengeluh' atau 'mengadu domba', apatah lagi mereka-reka cerita palsu atau menyalahkan mana-mana pihak. Pokoknya, kami kental dan begitu tabah menghadapi sebarang masalah. Keadaan itulah yang mengeratkan ukhuwah kami.

Tapi siswa-siswi di zaman ini lain pula 'perangai'nya, bukan? Padanlah ramai yang beranggapan generasi di zaman ini kurang berkualiti, kurang daya tahan, manja dan lebih banyak mengada-ngada. Bagaimana agaknya mereka selepas bergelar graduan selepas ini?

Mungkin kerana itulah ramai graduan hari ini yang bersifat mengada-ngada. Baru kerja setahun dua, sudah merengek-rengek hendakkan kereta. Yang masih menganggur meminta gaji RM3,000 hingga RM4,000 sebulan. Semua hendak senang dan mewah sekelip mata...

Pada kitalah, mereka ini selayaknya diberi gaji minimum saja, RM1,000 sebulan. Malah jika dibandingkan kualiti, ada di kalangan pelajar lepasan SPM yang jauh lebih berkualiti berbanding 'graduan-graduan' itu. Elok ajar mereka erti sebenar kehidupan.

Bukanlah kita ini cuba bersifat kejam terhadap mereka dan kita juga akui bahawa tidak semua graduan di zaman ini yang berperangai hodoh seperti itu. Dalam seribu graduan, mungkin hanya 50 orang saja graduan yang benar-benar berkualiti di zaman ini, kan? 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment