
Sunday, January 10, 2016
Optimumkan Perbelanjaan Kerajaan – Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu
anggota pentadbiran dan penjawat awam melaksanakan langkah
pengoptimumkan perbelanjaan dan bukan mengenakan pendekatan jimat cermat
dalam pentadbiran pada tahun ini.
Dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri
(JPM) yang pertama bagi 2016, di sini hari ini, Najib juga mahu penjawat
awam menggunakan daya fikiran kreatif dan inovatif untuk meningkatkan
produktiviti.
Beliau menegaskan dua perkara tersebut perlu menjadi tumpuan utama
dalam pentadbiran kerajaan pada tahun ini bagi menangani faktor luaran
yang tidak dapat dikawal oleh Malaysia.
“Mengoptimumkan perbelanjaan tidak bermaksud sebagai langkah
‘austerity’ (jimat cermat) potong sana potong sini, tetapi kita melihat
bagaimana setiap ringgit yang akan dibelanjakan boleh mendatangkan hasil
dan kesan yang paling besar.
“Selain itu, kita boleh tambah lagi usaha kita bukan bermaksud kerja
keras sahaja, tetapi menggunakan minda kita berfikir secara kreatif dan
inovatif untuk meningkatkan produktiviti. Saya selalu tekankan ‘give me
solution’ (beri saya penyelesaian),” katanya.
Turut hadir pada perhimpunan itu ialah menteri dan timbalan menteri
di JPM; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan warga JPM.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment