Sunday, January 10, 2016

UMNO Tidak Terdesak Hingga Terpaksa Cari Nyawa Baru Tubuh Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata walaupun UMNO berdepan pelbagai cabaran namun UMNO mempunyai kekuatan yang tersendiri bersama parti komponen yang lain menerusi Barisan Nasional (BN).

Justeru beliau menolak dengan tegas dakwaan yang menyebut bahawa UMNO berada di dalam keadaan tertekan atau terdesak sehingga memerlukan tongkat lain untuk menampung keadaan tersebut.

Soal beliau siapa dan parti manakah yang sebenarnya terdesak sehingga terpaksa memanipulasi isu dan menyerang UMNO secara membuta tuli dan gagal bersaing dengan UMNO dengan cara yang matang serta rasional.
Jamawi Jaafar 
“Perlu diingat pada pilihan raya umum yang lalu daripada 112 kerusi yang ditandingi parti itu, UMNO berjaya memenangi 88 kerusi. Begitu juga di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berjaya dimenangi balik sepertimana di Perak malah UMNO menerusi BN mengambil semula Kedah dari tangan pembangkang. Sebab itulah bagi kita, dakwaan yang mengatakan UMNO dan BN lemah atau terdesak adalah satu kenyataan yang tidak berasas sama sekali.

“Malah secara logiknya siapa yang terdesak…? Jika melihat parti pembangkang itu sendiri, mereka berkecamuk sehingga terkuburnya pakatan rakyat dan terbaru berlaku pula pertembungan antara Parti Amanah Negara dengan Pas. Di mana terdesaknya UMNO?,“ katanya kepada pihak media, di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau mengakui BN terutama UMNO bukanlah mahu bersifat bongkak kerana terdapat juga beberapa kelemahan yang perlu segera diperbaiki untuk mempertingkatkan lagi kepercayaan rakyat terutama dalam mengadakan persiapan berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang.

“Kita tidak mahu sombong atau bongkak tetapi jika pembangkang mengatakan kita terdesak maka pembangkang sebenarnya lupa mencerminkan diri mereka sendiri.  Hakikatnya pembangkang sejak dari dulu hinggalah terkuburnya Pakatan Rakyat tidak pernah bersatu dan sentiasa berbalah antara satu sama lain.

“Walaupun sekarang mereka mewujudkan pakatan baharu yang dinamakan pakatan harapan namun percayalah pakatan ini juga sebenarnya bermasalah.  Perjanjian baru yang mereka lakukan baru-baru ini pun sebenarnya menunjukkan mereka terdesak untuk menutup kemelut di kalangan mereka yang semakin lama semakin membarah”, ujarnya.

Justeru beliau mengulangi jika dibanding dengan UMNO atau BN hakikatnya yang terdesak adalah pakatan pembangkang sehingga terpaksa mencari nyawa baru menerusi pakatan harapan.

“UMNO atau BN tidak terdesak tetapi kita akui perlu melipatgandakan usaha dan persiapan kita untuk berdepan apa jua cabaran getir yang kita akan hadapi pada masa akan datang”, katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment