Sunday, January 10, 2016

PAN Juga Amal Falsafah 'Matlamat Halalkan Cara'?

Perlu diakui bahawa sungguhpun Parti Amanah Negara (PAN) adalah nama baru dalam senario politik Malaysia, pemimpin-pemimpinnya cukup arif dalam selok belok politik negara.

Malah ketika berjuang dalam Parti Islam seMalaysia (PAS) sebelum ini kebanyakan mereka menjawat kedudukan pemimpin dan menjadi punca mengapa PAS menjadi sebuah parti yang amat digeruni, terutama sekali Barisan Nasional.

Di segi matematiknya, mungkin ketika mereka berada dalam pimpinan PAS, parti itu belum mampu mencatat kejayaan lebih besar berbanding rakan kongsi seperti DAP dan PKR.

Namun baik kawan mahupun lawan mengakui bahawa hanya PAS sahaja yang mempunyai jentera pilihanraya dan mampu menggerakkan massa sebagai ‘tulang belakang’ Pakatan Rakyat.

Pemimpin-pemimpin seperti Muhamad Sabu, Salahuddin Ayob, Dr Hatta Ramli, Dr Mariah Mahmud, Hanafiah Maidin adalah nama yang melonjakkan imej dan aura PAS hingga mula diterima sebagai sebuah parti yang inklusif untuk semua kaum dan agama.

















Malangnya apabila pemimpin-pemimpin veteran dan konservatif PAS mulai curiga dan teragak-agak menerima kegesitan langkah politik mereka, maka retaklah perpaduan dalam PAS.

Lantas apabila pergerakan dan kedudukan mereka dalam barisan pemimpin PAS tersekat dek kekalahan dalam pemilihan pimpinan PAS Jun tahun lalu, tanpa menoleh ke belakang, pemimpin-pemimpin ini langsung berikhtiar menubuhkan parti baru – PAN.

Sejak peluncuran PAN pada 16 September 2015, nilai, hati budi dan syaksiah sebenar pemimpin-pemimpin yang lahir daripada idealisme PAS ini mulai terserlah dan diuji.

Mengemudi parti baru bukan mudah. Isu paling utama yang mereka harus buktikan ialah PAN bukan PAS. Amat sulit untuk mereka “menyedarkan” rakyat bahawa acuan latihan dan perjuangan PAS sebenarnya “belum memadai” untuk memerintah Malaysia.

PAN perlukan sokongan PAS?

Justeru intipati awal kempen mereka ialah merayu pada rakyat umumnya dan memujuk seberapa ramai ahli PAS khasnya, untuk menyedari hakikat ini dan betapa “zalimnya” mereka diperlakukan.

Rengekan mereka ialah setelah berpuluh tahun berendam dalam kawah perjuangan PAS, ada yang ditangkap dan dipenjarakan kerana cuba memenangkan PAS, jasa mereka langsung tidak diambil kira.

Ratapan mereka itu kemudian mengambil intonasi politik yang lebih agresif. Mereka perlu tonjolkan di mana batas perbezaan PAN dengan PAS.

Hujah paling lantang mereka ialah, PAS dipimpin oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang sering tidak mengikut “adab politik” dan membelakangi pandangan dari dalam dan luar PAS.

Serangan begini ada buruk dan baiknya. Jika mereka yang disasari dalam kempen menghalalkan kewujudan PAN akur, ia akan melonjakkan peluang dan jangka hayat parti itu.

Jika tidak, ia akan membelah umat Islam yang pendokong PAS untuk terus memusuhi mereka pula.

“Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain,” kata Nik Omar Nik Abdul Aziz menafikan penyertaan beliau dalam‎ PAN.

Anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu memang sudah kerap dipingit oleh PAN dengan menyebarkan desas desus bahawa beliau sudah menyertai parti itu.

Strategi PAN itu memang jelas. Ia memerlukan “perakuan” atau sokongan betapa suku sakat dan kerabat ulama terbilang PAS sendiri seperti al marhum Nik Aziz menyokong perjuangan PAN.

Dalam majlis makan malam Amanah Kelantan di Petaling Jaya baru-baru ini, Pengarah Komunikasi PAN Kelantan, Nordin Hussin‎ mengumumkan Nik Omar dilantik Pengerusi Panel Syariah PAN Kelantan.

Ditanya sama ada kenyataan itu bermaksud beliau menolak pelantikan itu, Nik Omar yang juga Pengetua Mahaad Tahfiz Darul Annuar di Pulau Melaka‎, menegaskan beliau sama sekali tidak terlibat dengan PAN.

Yang menyedihkan, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah langsung enggan mengulas tindakan “kurang amanah” PAN itu.

Namun pengatur strategi PAN tidak berhenti setakat itu. Sebelum itu dalam usaha “melunturkan” wibawa PAS, beberapa pemimpin PAN, termasuk presidennya Mat Sabu, cuba mengaitkan tindakan beberapa penyokong PAS sebagai ala-ekstremis Daesh atau militan Daulah Islam (Isis).

Usaha menyemarakkan nama PAN ini tidak dilakukan sendirian. Sebagai satu pakatan, pemimpin dan pemikir luar PAN juga berusaha melukiskan gambaran suram masa depan PAS dan berharap PAN akan jadi tempat pergantungan politik pengundi Islam Malaysia.

Dalam usaha PAS bekerjasama dengan semua pihak demi Islam termasuk Umno, sayap dan juga institusi kempen PKR – Institut Darul Ehsan (IDE) – melaporkan kajian politik mereka kononnya jika PAS bekerjasama dengan Umno, PAS mungkin berpecah lagi.

Sebagai ahli-ahli politik yang tangkas, peneraju-peneraju PAN nampaknya mengerahkan semua peluang dan rancangan untuk menggerhanakan imej PAS dan menyemarakkan aura PAN sendiri.

Mungkin sebagai sebuah parti yang mendakwa Islam pegangannya, PAN bertunjangkan tindakan politik mereka pada pesan Rasulullah s.a.w. bahawa ‘peperangan itu adalah tipu muslihat’.

Namun dalam konteks Malaysia yang sudah ada parti Islam yang unggul seperti PAS, halalkah atau bermoralkah taktik serangan PAN terhadap PAS sebegitu?

Atau, adakah sepertimana rakan-rakan kongsi politiknya, PKR dan DAP, piagam politik PAN sebenarnya adalah ideologi Machiavelli juga iaitu matlamat menghalalkan cara? 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment