Monday, January 11, 2016
Pemuda Mahu Kegiatan Bauksit Dihentikan Hingga Capai Penyelesaian Menyeluruh
KUALA LUMPUR : Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
menyokong keputusan kerajaan negeri untuk mengadakan moratorium kepada
kegiatan bauksit malah berharap tempoh yang dinyatakan oleh kerajaan
negeri iatu selama tiga bulan bermula 15 Januari 2016 dilanjutkan
sehingga betul-betul dapat penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu
ini.
“Perkara ini melibatkan kemudaratan kepada orang ramai bukan hanya
dari segi soal kesihatan tetapi pencemaran alam sekitar, masalah dengan
kesesakan jalan dan kemalangan yang disebabkan lori-lori yang membawa
bauksit dari perlombongan ini.
“Maka saya sangat-sangat sokong aktiviti ini dihentikan dan dikaji
dengan cukup mendalam. Jika mahu dimulakan semula mesti dikawal selia
dengan begitu ketat supaya tidak ada kesan buruk kepada alam sekitar,
penduduk tempatan, kepada sungai dan lautan,” ujar ketuanya Khairy
Jamaluddin dalam sidang media selepas mempegerusikan mesyuarat Exco
Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.
Beliau
juga melahirkan harapan agar siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya di kalangan
pegawai-pegawai rendah sahaja.
Siasatan haruslah secara menyeluruh dan
sampai ke pihak yang benar-benar menyebabkan masalah ini jadi masalah di
luar kawalan sebagaimana yang di lihat hari ini.
Ketika menjawab persoalan tentang Pengubahsuaian Bajet 2016 pula beliau berkata itu adalah satu realiti.
“Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan
belanjawan di dewan rakyat pada bulan Oktober lalu, ia berdasarkan
andaian yang digunapakai untuk mendapatkan angka hasil pendapatan
kerajaan berdasarkan harga minyak pada paras 48 US dollar satu tong
minyak mentah ketika itu.
“30 peratus hasil pendapatan kerajaan datangnya daripada sektor
minyak dan gas tetapi apabila harga minyak merudum sekarang ini pada 30
US dollar maka andaian tersebut tidak boleh lagi diguna pakai.
“Jadi ini menuntut untuk membuat sedikit perubahan. Saya yakin semua
kementerian bersedia untuk buat sedikit pengubahsuaian terhadap
perancangan yang ada dan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga
akan mengurangkan sedikit perbelanjaan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan semua pihak faham bila hasil pendapatan kerajaan
itu kurang maka perbelanjaan harus di kurangkan walaupun ini tidak akan
menjejaskan perkhidmatan dan juga projek-projek penting seperti yang ada
kaitan dengan rakyat.
“Cuma program-program yang tidak berapa kritikal perlu kurangkan.
Program-program yang penting kita tidak akan usik,” katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment