Monday, January 11, 2016
Pemuda Rangka Tiga Program Besar Untuk Bawa ‘Game Changer’ Kepada Golongan Muda
KUALA LUMPUR : Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia percaya tiga
program besar yang akan diberi penekanan pada tahun ini bakal membawa
‘game changer’ kepada golongan muda terutamanya mereka yang berada di
kawasan luar bandar.
Ujarnya ketuanya, Khairy Jamaluddin, tiga program tersebut adalah
program Konvensyen Dana Bumiputera, Program Pemuda Mahir dan Program Jom
Belajar Coding selain meneruskan program sedia ada iaitu pendaftaran
keahlian.
“Program Konvensyen Dana Bumiputera ini telah dilancarkan semasa
Perhimpunan Agung yang lalu di mana program ini akan merakyatkan
institusi-institusi kewangan kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan
bumiputera mendapat pinjaman dan pembiayaan daripada agensi-agensi
seperti MARA, PUNB dan Teraju.
“Pemuda
akan menjadi pemudah cara untuk membantu usahawan-usahawan kecil
sederhana muda yang berada di kawasan-kawasan luar bandar yang mungkin
merasa agak sukaruntuk menembusi birokrasi institusi tersebut supaya
dapat memudahkan mereka mendapat pembiayaan.
“Manakala program Pemuda Mahir pula diangkat daripada program yang
telah dijayakan oleh Pemuda UMNO Johor. Program ini akan dibuat untuk
membantu kerajaan mengarusperdanakan pendidikan latihan vokasional dan
teknikal,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat exco pergerakan itu
buat pertama kalinya untuk tahun ini.
Tambah Khairy, Pemuda akan membuat roadshow untuk membuka peluang
kepada anak-anak muda supaya mereka boleh melihat peluang yang ada dalam
bidang vokasional ini sebagai satu bidang yang boleh menjamin masa
hadapan yang cerah sekaligus mengubah persepsi masyarakat terhadap
latihan dan pendidikan vokasional ini.
Jelas beliau lagi bahawasanya aliran ini bukan pilihan terakhir
tetapi adalah aliran alternatif yang begitu baik terutamanya bagi
pelajar-pelajar yang lebih mahir dalam latihan amali ‘hands of training’
berbanding dengan latihan akademik.
Program Jom Belajar Coding pula jelasnya, adalah satu program yang
dilihat amat penting demi membangunkan ekonomi yang berasaskan
pengetahuan.
“Kita akan menganjurkan beberapa sesi untuk mengajar belia di luar bandar di kawasan kampung untuk mahir dalam bidang coding computer
kerana saya percaya hari ini bukan sahaja perlu mengajar asas 3M iaitu
membaca, menulis dan mengira tetapi kena bagi pendedahan dalam bidang
ini.
“Kalau tidak mula dari sekarang dan anak muda negara ini merasakan mereka tidak yakin dengan coding programming dan sebagainya maka kita akan jauh ketinggalan dalam membangunkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan,” katanya lagi.
Pemuda tambahnya turut akan memperkenalkan satu program baru iaitu
Tilawah Pemuda di mana akan menjalankan kerjasama dengan mahaad tahfiz
dan sekolah pondok yang akan dikenalpasti.
“Dalam ucapan saya semasa Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, saya
menekankan perkara ini sebab UMNO perlu adakan kerjasama dengan kumpulan
yang lebih luas daripada kebiasaan kita dan salah satu kumpulan itu
adalah mereka yang berada di sekolah agama tradisi.
“Program ini amat sesuai dengan seruan saya sendiri agar UMNO ini
menjadi satu khemah besar bukan hanya untuk golongan ahli biasa sahaja
tetapi kena perkembangkan lagi pengaruh kepada pihak yang sebelum ini
tidak ada apa-apa sentuhan daripada UMNO ataupun Pemuda sendiri,”ulas
Khairy.
Bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri Sarawak yang dijangka akan
diadakan Mac ini pula, beliau menjelaskan telah berbincang dengan
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak dan akan pengerusikan
mesyuarat Pemuda BN dalam masa terdekat.
“Kita akan buka bilik gerakan di Kuching dalam masa terdekat dan saya
telah memberi arahan kepada jentera Pemuda UMNO untuk memainkan peranan
sokongan di negeri Sarawak.
“Kempen jentera PRN Sarawak akan diterajui oleh Pemuda BN Sarawak dan
Pemuda UMNO akan berperanan sebagai kumpulan sokongan bagi membantu
rakan-rakan dan calon untuk berkempen di sana nanti,” katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment