
Wednesday, January 06, 2016
Pengguna Perlu Guna Kuasa Beli Bagi Pastikan Harga Barangan Dapat Dikawal – ANGKASA

KUALA LUMPUR : Pengguna perlu bijak menggunakan kuasa membeli
bagi memastikan harga barangan dapat dikawal, antaranya dengan
membeli di kedai koperasi dan juga Kedai Runcit 1Malaysia (KR1M).
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk
Abdul Fattah Abdullah berkata rakyat Malaysia harus menggunakan kuasa
pengguna sebagai pembeli supaya tidak terbeban dengan kenaikan harga
barang.
Pada masa ini terdapat kira-kira 12,500 koperasi di negara ini
dengan keahlian seramai lapan juta orang di seluruh negara yang mampu
memainkan peranan membantu memastikan harga barangan terkawal, katanya
kepada para pemberita.
“Banyak koperasi yang boleh mereka sertai. Sebagai contoh, koperasi
peruncit yang membeli terus dari kilang dan mendapat harga yang lebih
rendah kerana membeli secara pukal, sekali gus menghapuskan peranan
orang tengah yang cuba mengaut keuntungan,” katanya.
Abdul Fattah berkata ini adalah faktor pasar raya besar seperti Tesco
dan Mydin mampu menjual barang keperluaan dengan harga yang lebih murah
kerana membeli secara pukal terus dari kilang.
“Jika rakyat Malaysia mahukan harga di pasaran terkawal, mereka
perlu bersatu dan gunakan kuasa membeli untuk mendesak dan boikot
beramai-ramai barangan yang dijual lebih daripada harga sepatutnya,”
katanya.
Abdul Fattah berkata pada masa ini terdapat hampir satu perempat
rakyat di negara ini menjadi anggota koperasi, dan ini adalah satu
kekuatan.
Pengguna yang menjadi ahli koperasi dapat menikmati pelbagai faedah
daripada segi pembelian barang dan perkhidmatan pada harga yang rendah,
katanya.
Beliau berkata pihaknya juga giat melakukan program mendidik ahli
koperasi mengenai aspek kesedaran pengguna dalam menstabilkan harga
barangan.
“Adalah tanggungjawab kita untuk memberi pendidikan kepada ahli
menerusi pelbagai kursus seperti pengurusan kewangan, seminar
kepenggunaan dan lain-lain supaya ahli koperasi menjadi pengguna yang
bijak,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment