Tuesday, January 12, 2016
Selepas Permatang Pauh, #BebasAnwar Dipacak Di Selangor
PETALING JAYA : Selepas Pulau Pinang, kini kempen untuk membebaskan ketua
pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani
hukuman penjara terus dipergiatkan apabila papan iklan gergasi dengan
paparan 'Bebas Rakyat, Bebas Anwar' yang pertama dinaikkan di lebuh raya
di Selayang, Selangor.
Selepas Selayang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka merancang untuk
menambah lebih banyak billboard seumpamanya dalam masa terdekat.
Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, parti itu
menggalakkan iklan atau promosi seperti itu yang berbentuk informasi
kepada rakyat, namun keputusan mengenai pemasangan billboard itu
diputuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Setiap Adun mempunyai peruntukan untuk perkara-perkara seperti ini yang
boleh dimanfaatkan demi kepentingan rakyat, mereka ada hak, parti tak
wajibkan tetapi menggalakkannya.
“Saya percaya selepas ini lebih banyak billboard seumpama itu akan dinaikkan,” katanya kepada mStar Online, Selasa.
Facebook #BebasAnwar pada petang Selasa telah memuat naik gambar
billboard itu di Selangor. Ia adalah yang kedua, selepas yang pertama
dipasang di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
“Maka, terpacaklah billboard gergasi Anwar Ibrahim yang pertama di
negeri Selangor, selepas Kubang Semang di Permatang Pauh, Pulau Pinang,”
menurut posting tersebut.
Posting tersebut turut menyatakan lokasi papan tanda itu iaitu di lebuh raya di Selayang.
Sementara itu, menerusi posting yang sama terdapat komen di kalangan
netizen yang menyatakan papan iklan gergasi di Selangor tidak sebesar di
Permatang Pauh.
“Tidak sebesar di Kubang Semang, kampung saya,” tulis Hanis Norman di ruangan komen.
Pengendali Facebook itu membalas dengan menjawab ‘Kubang Semang tinggi, Selayang lebar’.
Dalam pada itu Syed Ibrahim berkata, tindakan menaikkan papan iklan
gergasi itu dibuat sebagai sebahagian daripada kempen anti kezaliman
yang didakwa berlaku terhadap Anwar.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk pembebasan Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang kita anggap telah dizalimi oleh Umno dan Barisan Nasional.
“Program March 2 Freedom masih berjalan tetapi kita saling membantu dan
saling menyokong antara satu sama lain dalam perkara ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment