Thursday, January 07, 2016
Tahun 2016 Mencabar, Bajet 2016 Perlu Diubah Suai
PUTRAJAYA : Pengubahsuaian Bajet 2016 akan dibentangkan tidak
lama lagi dengan mengambi kira senario ekonomi semasa untuk lebih realistik dalam keadaan pada tahun 2016 yang mencabar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pengubahsuaian itu
akan melibatkan beberapa aspek untuk dilakukan penentukur semula supaya
lebih realistik pada 2016.
Pada perhimpunan khas Kementerian Kewangan di sini hari ini, Najib
berkata adalah lebih baik untuk berterus-terang bahawa 2016 adalah tahun
yang mencabar.
“Saya
tidak mahu menggula-gulakan rakyat dengan tidak berpaksikan
pada realiti yang sebenar. Baiklah kita secara terus terang dan jujur
beritahu bahawa tahun ini adalah mencabar,” katanya.
Namun, katanya, kerajaan, dan Kementerian Kewangan akan terus
berusaha gigih dengan penuh komitmen untuk membela nasib rakyat dan
menjamin ekonomi negara dapat terus tumbuh dengan baik untuk membolehkan
pelbagai program pembangunan dilaksanakan.
Najib berkata pengubahsuaian Bajet 2016 itu antara lain akan
melibatkan langkah-langkah tambahan penegasan baru mengoptimumkan
perbelanjaan, peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan meneruskan
perjuangan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.
“Pembentangan ini akan dibuat dalam masa terdekat ini,” katanya.
Pada perhimpunan itu, Najib menyentuh mengenai cabaran-cabaran pada 2016.
Cabaran itu ialah mengenai kelembapan ekonomi negara China, yang
merupakan ekonomi kedua terbesar dunia dan rakan dagangan terbesar
Malaysia dan permintaan global dan perdagangan dunia yang masih lemah.
Turut disentuh Najib ialah cabaran akibat penurunan harga minyak
mentah dan komoditi yang berterusan, di mana harga purata minyak mentah
Brent telah menjunam daripada US$98.94 setong pada 2014 kepada US$31.58
setong semalam (7 Januari 2015).
Beliau berkata perkara tersebut amat membimbangkan termasuk kesan
kepada negara ekoran unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2016 adalah
berdasarkan harga purata Brent sebanyak US$48 setong.
Najib juga menyatakan cabaran pada 2016 adalah berkaitan keadaan
pasaran kewangan terutamanya berikutan kadar faedah Rizab Persekutuan
Amerika Syarikat (US Fed) yang akan dipulihkan seperti biasa bagi
membawa kesan aliran modal serantau termasuk Malaysia serta pengukuhan
nilai dolar Amerika Syarikat.
Beliau berkata cabaran-cabaran tersebut turut memberi impak kepada Ringgit.
Najib berkata bagi menangani cabaran pada 2016, tindakan lebih
responsif dan tegas perlu diberi perhatian bukan sahaja oleh Kementerian
Kewangan tetapi juga oleh kerajaan, GLC dan juga rakyat keseluruhannya.
“Tahun ini merupakan tahun yang begitu mencabar dan kita perlu
menguruskan sumber-sumber dengan cekap dan mencapai tahap optimum.
“Kita perlu bersiap sedia dan memikirkan cara terbaik untuk memastikan keadaan ekonomi kita mampan,” katanya.
Malah, Najib berkata kerajaan menyasarkan ekonomi Malaysia kekal
stabil pada tahun ini dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
antara empat hingga lima peratus.
“Inflasi dijangka kekal rendah diunjur berada dalam lingkungan dua hingga tiga peratus,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, kerajaan juga kekal komited untuk
mengurangkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus daripada KDNK pada 2016,
manakala tahap hutang Kerajaan Persekutuan dijangka kekal terkawal dalam
had yang berhemat 55 peratus daripada KDNK.
“Mudah-mudahan komitmen yang ditunjukkan Kementerian Kewangan bukan
sahaja kita dapat kekalkan malah kita dapat pertingkatkan lagi, kerana
tanggungjawab kita amat berat dan pada tahun ini adalah amat mencabar
untuk Malaysia dan dunia secara keseluruhannya,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment