Sunday, January 10, 2016
Takiyuddin : PKR, PAN Terpaksa Patuh Arahan DAP
Kestabilan pakatan pembangkang baharu yang
dianggotai DAP, PKR dan PAN adalah bergantung kepada pematuhan terhadap
arahan parti yang paling dominan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perjanjian
yang dibuat secara bertulis tidak semestinya menjamin ikatan konkrit
antara ketiga-tiga parti dalam pakatan tersebut.
Menurut beliau, DAP yang dilihat dominan dalam pakatan pembangkang
baharu itu mungkin menggunakan kelebihan berkenaan untuk menentukan
peraturan yang mesti dipatuhi parti-parti lain.
“Berdasarkan pengalaman Pas dalam pakatan pembangkang dahulu,
tiada perjanjian bertulis tetapi apabila wujud percanggahan, parti yang
menganggap pihaknya dominan akan menggunakan kelebihan itu.
“Jika parti itu melakukan kesilapan, tidak mengapa. Tetapi jika
parti lain buat keputusan atas kepentingannya sendiri maka parti
tersebut pula yang dianggap melanggar permuafakatan,” katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Takiyuddin mengulas tentang perjanjian kerjasama politik
ditandatangani DAP, PKR dan PAN semalam yang membolehkan mereka
menggugurkan mana-mana parti yang didapati melanggar serta tidak
menepati kerjasama dalam pakatan pembangkang.
Perjanjian dibuat susulan kerjasama politik menerusi pakatan sebelum
ini gagal ekoran Pas dan DAP masing-masing memutuskan hubungan kerana
perbezaan pendirian dalam isu-isu tertentu antaranya pelaksanaan hudud
dan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.
Beliau menambah, dominasi dalam pakatan pembangkang baharu itu juga
bergantung kepada kekuatan dan keanggotaan parti serta bilangan wakil
rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Takiyuddin memberitahu, perjanjian tersebut tidak memberi sebarang
kesan terhadap Pas kerana parti itu tidak mempunyai kaitan dengan
pakatan pembangkang baharu.
“Kita akan terus bekerjasama dengan PKR. Perjanjian berkenaan tidak menjejaskan hubungan antara Pas dan PKR,” jelasnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment