
Monday, January 11, 2016
Turap Jalan : Selangor Perlu Contohi DBKL

Awal
tahun 2015, Kementerian Wilayah Persekutuan melarang semua syarikat
utiliti menjalankan kerja-kerja mengorek jalan raya di ibu negara bagi
tujuan kerja-kerja penyelenggaraan.
Syarikat utiliti sebaliknya perlu menggunakan khidmat kontraktor yang
dilantik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melakukan
kerja-kerja tersebut.
Langkah itu diambil bagi mengelakkan masalah jalan berlubang dan
turapan tidak sempurna yang disebabkan oleh kontraktor dilantik oleh
syarikat utiliti.
Memandangkan kualiti jalan raya di Selangor perlu terus diperbaiki,
langkah kementerian tersebut seharusnya dicontohi oleh kerajaan negeri
di bawah pimpinan PKR. Kegagalan syarikat utiliti terutamanya SYABAS
menurap semula jalan dengan sempurna merupakan faktor utama timbulnya
masalah jalan raya di Selangor bermasalah.
Malah boleh dikatakan lebih 70 peratus kerosakan jalan adalah
disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan syarikat utiliti ini. Jalan
raya dipotong untuk kerja pemasangan paip bawah tanah sehingga
menyebabkan kerosakan antaranya jalan berlubang, retak selain jalan yang
diturap tidak sempurna.
Masalah yang berlanjutan sekian lama ini cukup menyedihkan warga
Selangor. Walaupun masalah ini sering dipaparkan di dada-dada akhbar,
namun seolah-olah tiada kesudahan.
Keadaan itu pastinya membahayakan
pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.
Penunggang motosikal terpaksa mengelak lubang dan jalan tidak rata
sebagaimana mengelak jerangkap samar. Jika nasib tidak baik kecelakaan
menanti.
Walaupun kerajaan negeri ada menyediakan peruntukan bagi tujuan
penyelenggaraan jalan raya, namun, jika jalan ini dikorek dan ditimbus
dengan tidak berkualiti, tetap tidak memberi apa-apa makna. Bahkan akan
merugikan wang rakyat.
Sudah tiba masanya, kerajaan negeri melantik sendiri
kontraktor-kontraktor yang benar-benar mampu melakukan kerja dengan
beretika demi kemudahan dan keselamatan orang ramai.
Dengan cara ini, akan memberi pengajaran kepada semua kontraktor yang
dilantik syarikat utiliti supaya tidak hanya melakukan kerja sekadar
‘melepaskan batok di tangga’. Kontraktor yang dilantik juga tidak harus
berada pada zon selesa.
Jika terdapat kontraktor yang dilantik tidak melakukan tugas dengan
baik, kerajaan negeri wajar menuntut ganti rugi selain
menyenaraihitamkan mereka.
Artikel oleh : MAT RIDER, Shah Alam, Selangor
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment