Sunday, June 24, 2012
Debat PTPTN : Dari Mana 237 Billion Ini Datang?
May 25, 2012
PENULIS tergerak untuk membangkitkan persoalan ini setelah mendapati ia
menjadi tajuk perbincangan hangat di media sosial dan Internet sekarang. Ia
berhubung kait dengan sesi Debat PTPTN antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy
Jamaludin dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.
Ia menarik perhatian penulis kerana dari banyak perkara yang dibincang antara
kedua pemimpin muda tersebut, kenapa soal ini pula yang
menjadi benchmark siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam debat
itu.
Lagipun seperti yang biasa disebutkan, laman ini berpaksi kepada kebenaran,
bukan kepada polemik politik yang tidak berkesudahan seperti mana yang dimahukan
ramai orang.
Baiklah.
Seperti yang penulis katakan semalam, Rafizi gagal menjelaskan kepada rakyat
bagaimana Pakatan Rakyat boleh menjayakan janji untuk memberi pendidikan percuma
dan penghapusan hutang PTPTN. Sumber memaklumkan penulis, semua maklumat telah
diberikan kepada Rafizi tapi di saat -saat akhir Rafizi memilih untuk tidak
mendedahkan maklumat tersebut atas alasan yang kurang dipastikan kenapa.
Sebaliknya Rafizi memilih untuk mempertikaikan soal berapa banyak peruntukan
pendidikan hasil dari ‘sumbangan RM237 Billion’ oleh Petronas kepada kerajaan
Malaysia sepanjang tempoh bapa mertua Khairy, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi
Perdana Menteri (2003 -2009).
Sebelum berbicara panjang, penulis suka nak menyatakan disini bahawa dari
kajian penulis, jumlah RM237 billion ini tidak dinyatakan dimana-mana sebagai
sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh Abdullah menjadi Perdana
Menteri.
Paling dekat ialah sumber dari blog mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir
Mohamad yang menyebut Petronas telah menyumbang sebanyak RM 270 billion (sebelum
cukai atau selepas cukai, penulis tidak pasti) kepada kerajaan sepanjang tempoh
pemerintahan Abdullah, dan projek apa yang telah dibiayai dari hasil wang
ini?
Kita tahu Rafizi adalah bekas kakitangan Petronas tapi Mahathir adalah
Penasihat Petronas. Kalau diberi antara 2 pilihan maklumat siapa yang perlu
lebih dipercayai, sudah tentu penulis memilih Mahathir.
Soal siapa Mahathir dan kekejamannya ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu
adalah perkara berbeza. Yang dibangkitkan sekarang ialah maklumat tentang
sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh Abdullah sebagai Perdana
Menteri.
Lagipun, tindakan Rafizi membuat perbandingan ini adalah hampir sama dengan
tindakan Mahathir pada 2010, cuma tidak mengkhusus kepada pendidikan seperti
yang dilakukan Rafizi dalam debat tersebut.
Balik pada soal RM 237 billion ini tadi.
Dari mana angka ini datang? Graf dibawah menunjukkan jumlah sumbangan
Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan Abdullah sebagai Perdana
Menteri (2004-2008). Yang mana kalau pembaca boleh mengira, jumlahnya hanyalah
sebanyak RM202.8 billion!! Katakanlah plus minus 10% pun, masih jauh dari angka
yang diberikan Rafizi.
Kenapa penulis membangkitkan hal ini dengan panjang lebar?
Kerana seperti ditulis diatas, isu ini sedang hangat dibincangkan di alam
siber bagi menunjukkan bahawa Khairy ‘kalah’ berdebat dengan Rafizi kerana gagal
menjawab soalan tersebut sebanyak 2 kali. Sekarang tahulah kita kenapa Khairy
tidak boleh menjawab, angka diberikan itu salah dan tidak boleh dirujuk
dimana-mana.
Jadi dimana yang Rafizi menang kalau rujukannya pun sudah
salah?
Itu belum disebutkan lagi dengan apa cara pendapatan Petronas semasa penggal
pemerintahan Abdullah, mampu dikaitkan dengan keupayaan Pakatan Rakyat untuk
memberikan pendidikan percuma setelah mengambil alih Putrajaya nanti.
Penulis tak nampak bagaimana ‘cerita’ 4 tahun lepas mampu membantu Pakatan
Rakyat menjayakan janji pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN seperti
yang menjadi tajuk debat tempoh hari. Tidak hairan kenapa ramai menganggap
tujuan Rafizi membangkitkan persoalan ini ialah untuk menyerang peribadi
Khairy.
Tak pasal-pasal, dari seorang yang dianggap majoriti ahli UMNO sebagai
‘persona non grata’ (orang yang tidak diperlukan), Khairy kini diangkat menjadi
hero pula.
Oleh yang demikian, penulis harap Rafizi tampil dengan penjelasan dari mana
sumber RM 237 billion ini diperolehi sebelum isu-isu lain yang timbul semasa
debat itu mengambil tempat.
Antara yang paling memalukan, sudah tentulah dalam soal “beri
pendidikan pra sekolah percuma pun tak mampu di Selangor (manifesto 2008),
inikan pulak pendidikan peringkat tinggi percuma“ yang disebutkan ahli
Parlimen Rembau tersebut semasa menutup hujahannya.
Penulis berpendapat beginilah, dimasa hadapan, jika kurang persediaan, elok
dibatalkan sahaja debat itu kerana penulis lihat ia bukan menaikkan lagi imej
Pakatan Rakyat, tapi tambah menjatuhkan lagi.
Oleh : Beruang Biru ( www. mykmu. net )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment