Sunday, June 24, 2012
SUARAM Menghina Mahkamah Perancis
June 13, 2012
Nampaknya SUARAM dan pembangkang tetap berdegil ingin terus bermain dengan
isu kapal selam scorpene walaupun tuduhan mereka telah dijawab dan dipatahkan
berkali-kali.
Sudah menjadi taktik pembangkang untuk ‘buat bodoh’ apabila terkantoi dan
akan terus memainkan fitnah yang sama walaupun ia telah dijawab berkali-kali
beserta dengan bukti. Contohnya, isu cincin Datin Seri Rosmah, isu anak Dato’
Seri Najib berbelanja di Australia sehinggalah isu pembunuhan Altantuya dan
scorpene ini, yang mana semuanya telah diperjelaskan dan bukti telah pun
dikemukakan bagi menafikan tuduhan mereka.
Dalam kes scorpene ini, SUARAM dan pembangkang telah pergi ‘agak jauh’ iaitu
dengan menggunakan nama mahkamah negara asing bagi menguatkan hujah mereka.
SUARAM juga menyatakan bahawa kes ini sedang disiasat dan kononnya terdapat
penemuan dokumen komunikasi dan transaksi yang menunjukkan wujudnya permintaan
rasuah secara terang-terangan.
Kononnya juga, Perdana Menteri akan disapina dan diheret ke mahkamah
Perancis. Malah lebih dahsyat lagi, mereka mengaitkan pula urusniaga dan rasuah
tersebut dengan pembunuhan seorang model Mongolia, Altantuya Sharibuu dan
membayangkan pembabitan Perdana Menteri dalam semua kes ini.
Pembangkang nampaknya benar-benar berpegang dengan kata-kata bahawa, ‘lebih
besar penipuan itu lebih ramai yang akan percaya’. Sebenarnya, tidak semestinya.
Ada kalanya apabila penipuan itu terlalu besar ia akan menjadi raksaksa yang
memakan diri.
Hakikatnya, benar, ada aduan rasuah mengenai pembelian kapal selam scorpene
dari DCNS oleh Malaysia yang dibuat oleh SUARAM kepada mahkamah Perancis. Dan
tidak seperti di Malaysia, di mana pihak polis atau SPRM yang bertanggungjawab
menyiasat sesuatu aduan rasuah, di Perancis, pihak mahkamah yang menyiasatnya di
bawah arahan Hakim.
Selama siasatan dibuat iaitu dalam masa 2 – 3 tahun, mengikut anggaran hakim
Roger Le Loire dan Serge Tournaire yang bertanggungjawab bagi kes ini, pihak
yang terlibat tidak dibenarkan membuat sebarang komen atau boleh dikenakan
tindakan menghina mahkamah. Dan sekiranya, siasatan mendapati hakim memerlukan
keterangan dari mana-mana pihak di Malaysia, maka hanya polis Malaysia yang
boleh mendapatkan keterangan dari pihak yang berkenaan dengan kehadiran pegawai
kehakiman dari Perancis.
Oleh itu, tidak timbul soal mengsapina Perdana Menteri atau sesiapa saja dari
Malaysia untuk hadir di mahkamah Perancis.
Sekiranya, hakim mendapati terdapat keperluan untuk membawa kes ke
perbicaraan, maka beliau perlu mengemukakan permohonan kepada mahkamah yang
lebih tinggi kerana hanya mahkamah yang lebih tinggi yang dapat menentukan sama
ada kes tersebut boleh dibicarakan atau tidak.
Jelaslah, apa yang dilakukan oleh SUARAM, iaitu mewar-warkan apa yang
dikatakan mereka sebagai ‘bukti’ serta membuat komen, malah kenyataan rasmi
terbuka di media, adalah satu bentuk penghinaan yang serius terhadap mahkamah
Perancis. Maka, secara rasminya SUARAM boleh dikenakan tindakan menghina
mahkamah sekiranya ada pihak yang membuat aduan terhadap mereka.
Jika kita lihat perkembangan kes ini di Perancis sendiri atau di mana-mana
jua, kita akan dapati tiada langsung komen dari pihak DCNS yang dikatakan
sama-sama memikul kesalahan jika benar telah terlibat memberi rasuah dalam
urusniaga kapal selam dengan Malaysia.
Ini kerana DCNS cukup arif mengenai prosedur undang-undang di negaranya dan
mengelak untuk memberi komen, membela diri atau menjelaskan apa-apa mengenai
apa-apa jua.
Hanya SUARAM a.k.a pembangkang Malaysia yang ke hulu ke hilir menjaja cerita
rasuah antara DCNS dengan Malaysia. Kerana apa? Kerana pilihanraya semakin
hampir, itu saja.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment