Sunday, June 24, 2012
Kapal Selam : Siapa Biaya SUARAM Untuk Menipu ?
June 5, 2012
Pembelian aset tentera tidak pernah lagi dipolitikkan sebegini rupa
sepertimana yang dilakukan oleh SUARAM terhadap kapal selam Scorpene. Kes kapal
selam ini ‘timbul’ lagi di Bangkok baru-baru ini bila SUARAM membuat sidang
media untuk memberi taklimat tentang perkembangan siasatan oleh pihak berkuasa
di Perancis. Mengakui bahawa ia berbunyi seperti filem aksi risikan Hollywood,
SUARAM terus mendahului mahkamah menuduh kerajaan korup dan Perdana Menteri
sebagai pembunuh!
Menurut hakim, siasatan ini tidak akan selesai dalam masa 2-3 tahun. Jadi,
kenapakah SUARAM tidak boleh duduk diam sementara menunggu keputusan? Kenapa
mesti ada kenyataan akhbar? Kenapa perlukan publisiti? Kenapa sekarang?
Bercakap mengenai kes ini, seseorang itu harus mempunyai sedikit pengetahuan
mengenai latarbelakang SUARAM. Dengan Pilihanraya Umum semakin hampir, motif
SUARAM ‘membangkitkan orang mati’ adalah jelas.
SUARAM adalah NGO yang amat kritikal terhadap kerajaan. Ini kita faham
kerana ia ditubuhkan oleh keluarga bekas tahanan ISA. Dalam ertikata lain, ia
ditubuhkan berasaskan dendam kesumat serta hidup atas keinginan untuk membalas
dendam terhadap kerajaan. Dan bekerjasama dengan pembangkang adalah cara
terbaik untuk melakukannya.
Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, tanpa agenda jahat atau
tersembunyi, seharusnya SUARAM membiarkan saja kes ini berlangsung dengan ‘aman’
di mahkamah.
Tetapi SUARAM tidak boleh duduk diam. Mereka perlu merosakkan imej kerajaan
dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri untuk membantu pembangkang mendapat
sedikit keuntungan politik sehingga pilihanraya. Jika penipuan mereka terdedah
selepas pilihanraya, biarkanlah. Tetapi buat masa ini, SUARAM berazam untuk
terus menipu kononnya PM dan isteri telah membunuh Altantuya, seorang model dari
Mongolia yang didakwa sebagai seorang penterjemah dan dibunuh atas alasan
meminta bahagiannya dalam komisen pembelian kapal selam Scorpene.
Tetapi penipuan mereka telah pun terdedah. Skrip asal filem risikan
Hollywood telah dimusnahkan oleh penulisnya sendiri iaitu Raja Petra Kamaruddin
(RPK). Di dalam satu wawancara, RPK telah mendedahkan bagaimana dia mereka-reka
keseluruhan cerita berkenaan ‘dengar cakap’ setelah diarahkan oleh orang-orang
tertentu dalam pembangkang.
Skrip ini juga terlalu dramatik sehingga tidak selari dengan fakta. Fakta
kekal merekodkan bahawa pada masa kejadian, PM sedang menghadiri program berbuka
puasa di Kedah dan isterinya, Datin Seri Rosmah menghadiri program yang sama
bersama anak-anak yatim di Bangunan Tabung Haji, Kuala Lumpur. Terdapat video,
gambar dan juga alibi yang mengesahkan bahawa Datin Seri Rosmah tidak berada di
tempat kejadian sepertimana yang ditulis dalam skrip asal RPK.
PM tidak mengenali Altantuya, dan itu juga adalah fakta. Gambar superimpose
lemah yang disebarkan oleh Tian Chua, Naib Presiden PKR yang menunjukkan mereka
bersama adalah dengan sendirinya bukti bahawa pembangkang adalah penipu. Bagi
menegaskan bahawa beliau tidak mengenali wanita itu, PM lebih dari bersedia
untuk bersumpah atas nama Allah mengikut hukum Islam, dan beliau melakukannya
bukan sekali, tetapi 4 kali. Tiada seorang Islam yang waras yang berani
bersumpah atas nama Allah jika mereka benar-benar bersalah.
Mahkamah Malaysia bukan sahaja tidak dapat menjumpai apa-apa untuk mengaitkan
PM atau isteri dengan pembunuhan itu tetapi juga tidak menyebut langsung
mengenai komisen atau kewujudan seorang penterjemah dalam perbicaraan. Ini
kerana, Altantuya bukan seorang penterjemah dan tiada penterjemah diperlukan
dalam transaksi Scorpene memandangkan semua perbualan dan dokumentasi dilakukan
dalam bahasa Inggeris.
Justeru, melihat dari semua ini, tidak syak lagi bahawa Scorpene dan nyawa
Altantuya hanyalah permainan politik bagi pembangkang…dan juga SUARAM.
SUARAM menyatakan bahawa mereka telah mendapat capaian penuh kepada 153
kertas siasatan dari pejabat pendakwaraya dan kini memberi taklimat secara
terpilih dari senarai tersebut. Jelas bahawa SUARAM cuba membayangkan
pertubuhannya sebagai bebas dan punya kuasa untuk menentukan keadilan. Di mana,
dalam kes ini, SUARAM hanyalah plaintif atau pengadu yang tiada hak untuk
membuat keputusan sama ada korupsi berlaku atau tidak, apa lagi mengaitkannya
dengan pembunuhan.
Walaubagaimanapun, SUARAM mengakui bahawa mereka tidak dapat membawa keluar
bukti dari Perancis dan taklimat tersebut adalah berdasarkan kata-kata mereka
semata-mata.
Kita telah mendengar kata-kata SUARAM dan semakin banyak kita dengar, semakin
pelik bunyinya. Bagaimana kita memegang kata-kata keluarga orang-orang yang
ditangkap di bawah ISA – iaitu orang-orang yang berpotensi membahayakan
keselamatan negara? Bagaimana kita hendak memegang kata-kata manusia yang penuh
dengan dendam kesumat? Bagaimana kita HENDAK memegang kata-kata mereka yang
telah terbukti menipu rakyat Malaysia?
Dalam menghalusi motif SUARAM, kita harus bersetuju bahawa dendam sahaja
tidak akan menjana wang. Jadi, di mana agaknya SUARAM mendapat wang untuk
mengupah peguam Perancis yang mahal, antaranya, Joseph Breham dan William
Bourdon untuk mewakili mereka?. Apakah mereka dibayar mengikut jam sepertimana
kebanyakan peguam barat dan Eropah? Ambil maklum bahawa peguam-peguam ini
dibawa ke Malaysia dan Bangkok untuk tujuan publisiti. Dan berapa ramai pula
pegawai SUARAM di Perancis yang memantau kes ini? dan untuk berapa lama?
Siapakah yang menanggung kos penginapan, pengangkutan, perjalanan, makan-minum,
dokumentasi dan segala-galanya?…dan berapakah jumlahnya?
Kita tahu bahawa SUARAM adalah sebuah pertubuhan yang kecil, hampir tidak
dikenali langsung di kalangan rakyat biasa di Malaysia. Bagaimana mereka mampu
membiayai semua ini?
Penulis percaya, ramai yang akan bersetuju bahawa nampaknya SUARAMlah yang
perlu disiasat dan dibicarakan oleh rakyat yang inginkan kebenaran, bukannya
kerajaan.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment