Sunday, June 24, 2012
Najib Pilihan Utama Rakyat
May 22, 2012
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz yang secara terbuka menyokong
program transformasi Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang
disiarkan oleh kebanyakkan media massa nyata mengundang perasaan kurang selesa
dari kem pakatan pembangkang.
Menurut Tunku Aziz, “apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri sekarang ini
adalah betul dan tepat, kita perlu memberikan sokongan kepadanya”. Satu
kenyataan yang ringkas dan padat namun ianya pedas untuk diterima oleh pemimpin
dan penyokong pembangkang.
Sebelum ini, Tunku Aziz juga pernah mencetuskan kemarahan ramai pemimpin
pembangkang terutama dari DAP apabila mengecam perhimpunan Bersih 3.0 yang
disifatkannya sebagai tindakan yang sengaja mahu mencabar undang-undang dan
sukar untuk berlangsung dengan aman.
Tidak sedikit respon negatif diterima dari kalangan penyokong tegar
pembangkang yang mengganyang kenyataan Tunku Aziz itu. Rata-ratanya menyifatkan
Tunku Aziz sebagai pengkhianat dan tidak berpendirian teguh.
Pun begitu, respon negatif pembangkang tidak sukar dimengertikan kerana
hampir kebanyakkan penyokong pembangkang memahami peranan sebagai pembangkang
hanyalah dalam konteks sentiasa bangkang apa saja tanpa mengira baik atau buruk
sesuatu perkara.
Namun telahan Tunku Aziz terbukti betul apabila di saat-saat akhir
perhimpunan Bersih 3.0 telah berlaku perlanggaran undang-undang setelah
peserta-peserta di barisan depan yang diketuai oleh Unit Amal PAS dan beberapa
kelompok lain terlibat secara langsung menceroboh masuk ke Dataran Merdeka
sehingga memaksa FRU bertindakbalas menyuraikan mereka.
Dalam hal sokongan Tunku Aziz menyanjung agenda transformasi yang diterajui
oleh Najib sebenarnya menunjukkan kematangannya sebagai pembangkang yang
rasional dan bukannya dari jenis bangkang dari longkang.
Perbezaan nyata seorang yang rasional dan berakal berbanding dengan golongan
bangkang dari longkang. Sokongan beliau adalah satu pengiktirafan atas usaha
penat lelah PM menerajui kerajaan dan ia tentu saja memberi makna besar kepada
kerajaan BN.
Dari satu sudut, kenyataan Tunku Aziz juga merupakan satu manifestasi betapa
urus tadbir kerajaan BN sudah berada di landasan yang betul untuk memacu
pembangunan dan kemajuan negara selain tanda aras penting yang membuktikan
kemampuan Najib sebagai pemimpin negara.
Jika kita fahami secara tersirat kenyataan Tunku Aziz itu, mungkin bertepatan
kalau kita tafsirkannya sebagai pengiktirafan rasmi dari beliau terhadap
kemampuan Najib untuk terus memimpin negara selain menepati kriteria sebagai
pilihan utama rakyat berbanding pemimpin politik berjiwa retorik seperti Anwar
Ibrahim.
Oleh : Beruang Biru (Dipetik daripada www. mykmu. net)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment