Wednesday, August 26, 2015
DEIG : Kesinambungan Langkah Kajang?
Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG)
bagi menguruskan aset-aset milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI)
Selangor bernilai RM30 bilion dikhuatiri merupakan kesinambungan
daripada ‘Langkah Kajang’ yang berjaya menyingkirkan bekas Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.
Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, beliau bimbang
sekiranya pengurusan aset-aset MBI yang sepatutnya berlandaskan prinsip
tadbir urus korporat dan akauntabiliti telah bertukar menjadi percaturan
politik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Memang pelik apabila anak-anak syarikat MBI yang memiliki aset
bernilai RM30 bilion ini akan diuruskan pula oleh sebuah syarikat
sendirian berhad yang bernilai RM2. Ini menimbulkan rasa prasangka dan
kekhuatiran oleh anak-anak Selangor.
“Saya takut kalau perkara ini ada terkandung dalam kitab Langkah
Kajang yang mana difahamkan mereka mahu membuat transaksi yang memberi
keuntungan atas angin dan kemudiannya digunakan untuk dana pilihan raya
parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tindakan Kerajaan PKR Selangor menubuhkan DEIG menjadi isu paling
panas di negeri itu berikutan syarikat bernilai RM2 tersebut didakwa
akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah
MBI.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mempertahankan langkah
mewujudkan syarikat tersebut walaupun sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor meluluskan usul agar penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan
syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekali gus
bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta
pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum
Yong berkata, Mohamed Azmin sewajarnya berterus-terang dan membentangkan
kertas putih di DUN Selangor bagi menjelaskan manfaat meletakkan
pengurusan aset-aset MBI di bawah sebuah syarikat bernilai RM2.
“Kenapa perancangan untuk menubuhkan DEIG ini tidak dibentangkan
dalam sidang DUN dan sekarang apabila orang persoalkan, baru cakap DEIG
masih belum lagi beroperasi dan dijangka beroperasi pada tahun depan.
“Satu lagi perkara, dalam Enakmen Menteri Besar Selangor, ada disebut
sekiranya ada transaksi perpindahan harta MBI, mesti dapat persetujuan
atau dimaklumkan kepada Sultan Selangor, saya ingin bertanya adakah
rancangan ini sudah dimaklumkan kepada Sultan Selangor?,” katanya yang
juga merupakan anak kelahiran Selangor.
Katanya, langkah menubuhkan DEIG bagi menguruskan aset-aset MBI bakal
menimbulkan isu ketelusan kerana negeri Selangor adalah negeri yang
paling kaya dari segi aset selain daripada Sarawak.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment