Monday, August 31, 2015
Najib Ikrar Tidak Akan Biarkan Malaysia Jatuh
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia.
Perdana Menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan yang lain akan meneruskan usaha itu walau apa puncabaran yang mendatang serta dugaan yang melanda.
Ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Ahad malam, Najib melahirkan rasa kesal atas tindakan segelintir pihak yang yang sanggup dan tergamak mencetuskan bibit-bibit persengketaan sertaapi permusuhan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara.
"Sesungguhnya, kami tidak akan membenarkan sesiapa sahaja sama ada dari dalam atau luar (negara), untuk dengan mudahnya datang dan mencuri, merosakkan atau memusnahkan apa yang telah kami bina selama ini.
"Beringatlah semua, jika kita tidak bersatu, hilang solidariti dan hilang kesepaduan, segala masalah tidak akan dapat diselesaikan, bahkan segala yang kita bina secara susah payah selama ini akan hancur begitu sahaja," katanya.
Ini merupakan kali kedua Najib menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan secaralangsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu seperti amalan biasa.
Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam ini.
Majlis itu dikelolakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Perdana menteri turut mengajak para hadirin merenung dan menghayati sedalam-dalamnya erti kemerdekaan, serta jasa bakti para parajurit dan anggota keselamatan yang telah berkorban bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa.
"Kerana itulah kita menolak sebarang bentuk demonstrasi jalanan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan hanya menyusahkan rakyat, kerana ia tidak langsung mencerminkan kematangan, bahkan ia bukanlah sebagai saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan dalam sebuah negara demokrasi," kata Najib.
Menurutnya apa yang berlaku sehari dua ini amat tidak wajar, serta mempamerkan kecetekan minda dan miskin semangat kebangsaan, kata Najib yang jelas merujuk kepada perhimpunan Bersih 4 di ibu negara, Kota Kinabalu dan Kuching.
Ke arah itu, beliau terus mengajak rakyat Malaysia memberi penghargaan dan penghormatan kepada susah payah anggota keselamatan dalam memastikan kerukunan dapat terus dikecapi pada setiap masa.
Tegas Najib, kemerdekaan yang mengajar sesebuah watan itu berdiri di ataskaki sendiri, hanya datang sekali dan bukanlah barang mainan, justeru ia harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya.
"Saya berdiri di sini, dan berucap sebagai warga Malaysia yang bersemangat serta bangga dan ingin menyatakan dengan tegas bahawa negara serta tanah air ini adalah milik setiap seorang daripada kita dan kita tidak akan membenarkan sesiapa pun menjadi dalang serta pengkhianat untuk memusnahkannya.
"Bersabit itu juga, jangan ada sesiapa yang cuba mengadu domba meski apapun akan berlaku, biar berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua...persarikatan mulia antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung bak pesan orang-orang lama, bercerai kasih bertalak tidak, ibarat besi terpatri mati," katanya.
Dalam ucapan kira-kira 40 minit itu, perdana menteri turut menjelaskanmengapa kemerdekaan begitu dekat dengan hati orang Melayu, Umno dan Barisan Nasional.
"Kerana kemerdekaan inilah lambang kemuncaknya perjuangan, tanda tingginya kesungguhan dan bukti sifat penuh berani oleh orang-orang Melayu, Umno dan rakan-rakan parti komponen, demi membina sebuah negara bangsa," katanya.
Ke arah itu, Najib berjanji bahawa beliau dan anggota pentadbiran serta Barisan Nasional akan terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Malaysia serta mensejahterakan rakyat.
"Suka saya ulangi di sini, sekali layar sudah dikembangkan, apabila sauh sudah dilabuhkan, pantang nakhoda dan anak-anak kapalnya berbalik haluan.
"Bersamalah kita berdiri, bersamalah kita bangun dan bersamalah kita bangkit dengan hati yang ikhlas dan tekad yang diperbaharui, memandang masa depan dengan jiwa yang gagah dan merdeka dalam satu solidariti, senada seirama, sehati sejiwa kita gemakan Merdeka! Merdeka! Merdeka!" katanya.
Turut hadir ke majlis malam ini isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ahmad Zahid dan menteri-menteri Kabinet.
Kakitangan awam, ahli-ahli korporat, wakil-wakil NGO, golongan pendidikan,budayawan, mahasiswa dan individu-individu yang mewakili masyarakat pula hadir sebagai jemputan untuk mendengar amanat berkenaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment