Saturday, August 29, 2015
#sehatisejiwa, Tolak Anasir Negatif Luar Demi Kedaulatan Tanah Air
KUALA LUMPUR : Menanamkan semangat cintakan tanah air bukan sahaja perlu diekspresikan ketika menjelang sambutan ulang tahun hari kemerdekaan, tetapi juga perlu sentiasa ada dalam jiwa setiap masyarakat di negara ini tanpa mengira musim, ujar Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Norrulhuda Marsidin.
Menurutnya semangat itu perlu ada supaya keharmonian serta keamanan negara terjaga dan seterusnya mampu memberi pulangan kemakmuran berpanjangan kepada rakyat.
Seterusnya beliau berkata, semua pihak mengharapkan yang terbaik untuk mencorakkan negara ini bagi mewariskannya kepada generasi akan datang, tetapi apakah hingga ke tahap mengikut rentak rakyat di beberapa negara luar yang bertindak menyatakan perasaan ketidakpuasan hati melalui protes jalanan yang ternyata kesannya lebih membawa kepada keburukan berbanding kebaikan.
“Ini negara kita, kita yang perlu mencorakkannya mengikut cara kita bukan dengan cara campur ‘tangan-tangan halus’ dari luar yang sememangnya mahu melihat negara ini berada di dalam keadaan bergolak dan seterusnya musnah.
“Kepelbagaian ideologi politik bukanlah tiket untuk kita bertindak dengan tindakan yang luar dari norma-norma dan lunas undang-undang negara serta terlalu ikutkan perasaan dan tidak berfikir secara rasional,” katanya kepada UMNO-Online.
Tetapi, harus diingat, adakah kita mahu tergolong di dalam kelompok yang boleh dilabelkan sebagai golongan yang sering bertindak dengan tindakan yang mampu mengganggu-gugat keharmonian yang sedia terbina? Soal beliau lagi.
“Bukankah di peringkat pusat kita ada Dewan Rakyat, di peringkat negeri kita ada Dewan Undangan Negeri, semua wakil dari pelbagai parti baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang boleh sampaikan dan perbahaskan apa sahaja permasalahan yang timbul.
“Mengapa memilih di jalanan? Seharusnya ini tidak berlaku kerana selaras usia kemerdekaan di negara kita ini, begitulah juga dengan kematangan pemikiran politik kita, yang seharusnya menolak politik yang diracuni unsur-unsur negatif, yang sememangnya tidak memberi untung kepada masyarakat secara keseluruhannya.
“Sebab itu saya berpandangan #sehatisejiwa yang mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini tanpa mengira di mana berada adalah satu manifestasi menanamkan semangat patriotisme demi kedaulatan negara tetap terpelihara,” ujar Ketua Puteri UMNO Bahagian Labis itu lagi.
Untuk menanamkan semangat cintakan negara ini, kita perlulah juga menghayati prinsip-prinsip rukun negara dan melalui pendidikan sejak awal lagi adalah langkah terbaik bak kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, tambahnya lagi.
#sehatisejiwa dipilih sebagai tema bagi sambutan Hari Kemerdekaan bagi tahun 2015 ini.
“Dan suka atau tidak, generasi sekarang perlu menginsafi dan menghargai bagaimana pahit getir orang terdahulu berjuang menuntut kemerdekaan, daripada bermandikan darah menentang penjajah hinggalah bergolok-gadai menyerahkan wang dan barang kemas kepada Tunku Abdul Rahman bagi menampung kos ke London,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment