Saturday, August 29, 2015
Penganjur, Peserta Bersih 4 Miskin Semangat Patriotik – Najib
JERANTUT : Penganjur dan peserta perhimpunan haram Bersih 4 “cetek dan miskin” semangat patriotik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata walaupun berbeza fahaman politik, mereka sepatutnya menghayati Hari Kebangsaan yang akan disambut Isnin ini dengan mengibar Jalur Gemilang sebagai menghargai jasa pejuang negara yang membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.
“Kita nak sambut kemerdekaan, ada orang nak tunjuk perasaan di tempat bersejarah iaitu di Dataran Merdeka.
“Tak faham ke mereka ini, cetek dan miskin sangat ke semangat patriotik cintakan tanah air. Tak faham ke mereka yang negara kita terbina atas darah dan keringat pejuang-pejuang tanah air.
“Daripada zaman Mat Kilau, Tok Janggut dan pejuang UMNO sehingga ke perajurit serta polis kita mati syahid kerana nak pastikan kemerdekaan negara,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Jerantut Ahmad Nazlan Idris.
Terdahulu ketibaan Najib, yang juga Presiden UMNO, disambut lebih 5,000 pemimpin dan anggota UMNO serta orang ramai selain diiring dengan paluan gendang serta silat sendeng oleh Pemuda Jerantut.
Mengulas lanjut tentang perhimpunan itu, Najib berkata tindakan pihak berkenaan yang menganjurkannya dilihat seolah-olah sengaja ingin mencemarkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Orang yang pakai baju kuning ini siapa dia, hendak mencemar nama baik kita, hendak menconteng arang pada muka Malaysia pada dunia luar padahal negara inilah negara mereka, kerana perjuangan UMNOlah mereka berjaya,” katanya.
Dalam masa sama, Najib berkata dalam keadaan parti yang menghadapi cabaran getir pada masa kini, anggota dan pemimpin UMNO perlu mematuhi disiplin serta memiliki sifat kasih dan sayangkan parti untuk memperteguhkan parti.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment