Monday, August 31, 2015
Polis Singapura Beri Amaran Terhadap Perhimpunan Haram Sokong Bersih
Polis Singapura Sabtu memberi amaran agar orang ramai tidak menganjurkan atau menyertai mana-mana perhimpunan haram di republik ini bagi menyokong perhimpunan Bersih 4 di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, pasukan itu berkata mereka telah dimaklumkan mengenai seruan menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk menganjurkan dan menyertai acara seperti itu di Singapura berhubung demonstrasi jalanan di Malaysia.
"Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa menganjur atau menyertai perhimpunan awam tanpa permit polis di Singapura adalah haram dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam.
"Warga asing yang bekerja atau tinggal di sini perlu mematuhi undang-undang kami. Mereka tidak sepatutnya membawa isu-isu dari negara mereka ke Singapura yang boleh mengganggu ketenteraman awam," kata kenyataan itu.
Polis berkata mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas dan ini mungkin termasuk menamatkan visa atau pas kerja atau mana-mana yang berkenaan.
Penunjuk perasaan Bersih 4 berhimpun di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment