Saturday, August 29, 2015

UMNO Sabah Mampu Jadi Contoh – Hishammuddin

TENOM : Kesetiaan, kesatuan dan kesepaduan anggota parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah boleh dijadikan contoh oleh kepimpinan dan anggota pergerakan parti itu di negeri-negeri lain, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, ini kerana, meskipun sedang berdepan ujian, kepimpinan dan anggota parti UMNO di negeri ini tidak berpecah sebaliknya masih tetap teguh bersatu untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti dipertahankan dan diteruskan.
“Ujian kepada kepimpinan adalah semasa berhadapan dengan krisis, dan Sabah lulus menghadapi ujian dalam konteks itu,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tenom di sini hari ini.
Turut Hadir Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Rubin Balang; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Datuk Raime Unggi yang juga anggota Parlimen Tenom; dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan turut memuji kewibawaan kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam membawa UMNO dan BN di Sabah untuk terus berdiri kukuh dan bersatu-padu walaupun berhadapan pelbagai ujian dan krisis.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata apa yang dilalui oleh UMNO sekarang ini bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ujian lain yang lebih berat turut pernah dilalui sekali gus menguji kesepaduan anggota parti dan kebijaksanaan dalam berhadapan seterusnya menyelesaikan ujian berkenaan.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hishammuddin berkata kepimpinan dan anggota parti perlu sentiasa rasional dan tidak berpecah belah bagi mengekang tindakan mana-mana pihak yang mahu mengganggu-gugat kekuatan parti.
“Alhamdulillah, sejarah juga telah menunjukkan dalam parti berdepan kemelut dan krisis, kepimpinan dalam UMNO akan bangkit (meneruskan perjuangan), anggota UMNO bersatu, dan setelah keluar dari kemelut parti akan
lebih mantap,” katanya.
Justeru, Hishammuddin mengingatkan pemimpin muda dalam sayap UMNO supaya teliti dan melihat segala ujian sebagai pengalaman, selain dijadikan sebagai sandaran apabila mengetuai kepimpinan.
“Ini bagi menguatkan (mental) berhadapan cabaran di masa depan kerana pasti mereka juga tidak terkecuali (menghadapi ujian).
“Kematangan banyak bergantung kepada pengalaman, kebijaksanaan, keinsafan dan kesedaran, selain meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaaan,” katanya.
Dalam majlis sama, Hishammuddin turut menerima 500 borang anggota baharu daripada UMNO Bahagian Tenom yang diserahkan Rubin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment