Monday, August 31, 2015
Najib Lancar ‘Diversecity’ 2015 : Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini melancarkan ‘DiverseCity 2015: Festival Kesenian
Antarabangsa Kuala Lumpur’ yang berlangsung selama lima minggu.
Festival seni yang julung kali diadakan itu, bertujuan menjadikan
Kuala Lumpur sebagai pentas utama persembahan seni selama sebulan, yang
bukan sahaja terbaik di negara ini, tetapi juga bagi rantau Asia
Tenggara.
Ia menampilkan warisan budaya Malaysia dan rantau Asia Tenggara
melalui persembahan yang merangkumi tarian, komedi, kesusasteraan dan
seni visual.
Festival yang bermula hari ini, akan berlangsung sehingga 4 Oktober.
Perdana Menteri yang tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah
Mansor, merasmikan pelancaran festival itu yang diadakan di Pavilion,
Bukit Bintang, di sini.
Najib juga meluangkan masa selama beberapa minit menyaksikan pameran
lukisan oleh Soon Hoe, pelukis kontemporari Malaysia yang berpangkalan
di Melbourne.
Terdahulu, pengarah festival berkenaan Datin Sunita Rajakumar dalam
ucapan perasmiannya berkata festival itu merupakan program persembahan
dan seni visual yang menampilkan kepelbagaian Malaysia yang kompleks.
Sunita berkata festival itu akan menampilkan persembahan seperti
tarian, komedi, kesusasteraan serta seni visual dan setiap genre dipilih
dan dihasilkan adalah daripada pengamal yang terkemuka.
Najib dan Rosmah serta pengunjung pusat beli-belah itu, kemudian
dihiburkan dengan tayangan video, persembahan tarian, deklamasi sajak
serta persembahan dikir barat dan gendang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment