Monday, August 31, 2015

#BERSIH4: Pembuli Politik Rampas Detik Sejarah Negara, KDN Jangan Tidur Lagi

Tindakan perhimpunan haram Bersih 4 menghalang sambutan rasmi Di Ambang Merdeka pada Ahad malam lepas sepatutnya menjadi titik noktah kepada keterbukaan kerajaan dalam menangani pembuli politik seperti Maria Chin Abdullah, S. Ambiga, Datuk Noor Farida Ariffin.
image
Mereka ini bukan ahli politik tetapi pembuli politik yang diberi dana besar dan mahu memaksa kerajaan mengikut cakap mereka. Mereka bukan sahaja mempunyai organisasi yang tersusun malah dilengkapi dengan pengawal keselamatan dan pasukan propaganda yang luar biasa.

Mereka menganjur dan hadir di perhimpunan haram ini sehingga menyebabkan sambutan Di Ambang Merdeka terpaksa diubah di saat terakhir ke stadium nasional. Inilah kali pertama dalam sejarah sambutan menjelang 31 Ogos terpaksa dipindahkan dari tempat bersejarah di Dataran Merdeka.

Kita menghormati pandangan mereka mengenai pentadbiran negara ini biar pun tidak mewakili suara majoriti. Namun ia bukan hak mereka untuk merampas detik sambutan bersejarah negara dari rakyat negara ini yang tidak mahu terbabit dengan idelogi dan perhimpunan haram mereka.

Ketika kita faham tindakan kerajaan enggan bertindak terhadap Bersih 4 kerana tidak mahu menyebabkan berlaku kekacauan dan publisiti buruk kepada negara menjelang sambutan hari kemerdekaan, kita tidak mahu ia berulang lagi. Biar ini menjadi yang pertama dan yang terakhir!

Tahniah juga kepada pihak Polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sedaya upaya cuba menyuraikan kumpulan ini secara aman biarpun kerajaan menanggung malu akibat tindakan tidak beradab kumpulan ini.

Mereka mempunyai 51 minggu lain untuk melakukan perhimpunan ini tetapi mereka memilih minggu sambutan hari kemerdekaan untuk memenuhi agenda politik pakatan.

Mereka bukan ahli politik, bergerak atas pentas badan bukan kerajaan tetapi membawa agenda politik pembangkang. Kumpulan sebenarnya pembuli politik yang lebih merbahaya daripada parti lawan.

Kerajaan tidak boleh membiarkan pembuli politik ini berleluasa sehingga merosakkan negara.

Tindakan undang-undang harus diambil ke atas penganjur Bersih 4 dan juga pesertanya. Kita mahu pendakwaan dan hukuman yang tegas dikenakan ke atas mereka. Jika tidak mereka akan merampas acara hari kebangsaan kita setiap tahun.

Sambutan Hari Kemerdekaan dan Dataran Merdeka harus menjadi hak milik semua rakyat tanpa dicemari agenda politik menghasut rakyat membenci kerajaan.

Soalnya, beranikah KDN, Polis dan Peguam Negara melaksanakan undang-undang sedia ada dengan mendakwa mereka ini?

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment