Saturday, August 29, 2015
Sekadar Bertanya : Bersih 4.0: Berhimpun, Berdemo, Menjerit Pekik, Kemudian Apa?
Sejak 1998 hingga hari ini di tahun 2015, sudah beratus-ratus demonstrasi dan himpunan jalanan berskala kecil, sederhana mahu pun besar diadakan khususnya di Kuala Lumpur.
Dulu dan sekarang, penulis tengok keadaan semasa himpunan dan demo jalanan tetap sama. Statik, macam tiada hala tuju.
Mereka cuma tahu berkumpul kemudian berarak sambil menjulang sepanduk dan terjerit pekik dengan pelbagai slogan – reformasi, turun-turun, bersih, kita lawan, hidup rakyat dan macam-macam lagi.
Penganjurnya juga dari puak yang sama. Sama ada dianjurkan pihak pembangkang dan diketuai pemimpinnya, atau diuruskan NGO yang jadi kroni pembangkang yang akan mengendalikannya atas nama kebebasan dan demokrasi.
Jumlah peserta di setiap demo akan digembar gembur konon jangkaan kehadirannya diramal cecah angka sejuta. Hakikatnya yang hadir cuma 5,000 diumum kehadiran 50,000. Kalau hadir 10,000 dikatakan 100,000 membanjiri himpunan anjuran mereka.
Peserta pula rata-ratanya dari jenis totok pembangkang. Yang mana staminanya kuat terus berdiri longlai di tengah panas terik, yang tak tahan panas tercari-cari tempat berlindung di balik bayang bangunan.
Yang terlebih dungu pula tanpa peduli sanggup membiarkan anak kecil yang di bawa bersama tidur dalam kepanasan.
Ada yang cerdik sikit di kalangan penganjur dan peserta, mereka ambil kesempatan jual cenderamata, yang mana individu mahu cari pendapatan tambahan mereka jual air botol dan tin. Kutipannya lumayan, tengah panas terik dan letih menjerit tentu ramai peserta yang tak kedekut duit sudi membelinya.
Dalam masa yang sama mengulangi tabiat sama, akan ada slot ucapan pemimpin pembangkang dan wakil penganjur, samada dari atas kenderaan atau berdiri bersama peserta, dengan ucapan retorik dan kecaman terhadap pimpinan negara.
Dari pagi sampai petang, ada kala terbawa-bawa sehingga ke lewat maghrib atau Isyak, itu sajalah adegan ulangannya sejak dulu hingga sekarang. Yang bersilih ganti watak, slogan dan sesekali bertukar warna tema baju serta nama himpunan.
Dan sebaik habis himpunan atau demo, apa yang para peserta perolehi? Berubah menjadi kaya raya dan bergaji setinggi YB-YB pembangkang atau berpeluang menikmati jawatan bertaraf YB dan MB?
Atau adakah dengan demonstrasi ini menjadikan taraf hidup mereka berubah mendadak sekaligus menyelesaikan kemelut cabaran ekonomi yang negara kita sedang harungi?
Siapa mampu menjawab persoalan ini? Kalau tanya pemimpin pembangkang tentu sahaja mereka kata ada kesan positif sebab yang mana namanya menjadi popular melalui demonstrasi sebegini berpeluang diangkat menjadi calon pilihan raya. Itu target mereka.
Tapi peserta marhaen yang berpeluh ketiak dapat apa pula? Hanya penat lelah, dari satu demo ke satu demo, masuk angin keluar asap. Fikir-fikirkanlah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment