Saturday, August 15, 2015

Jadinya Ahli PAS Yang Masuk GHB adalah Rela Jadi Barua DAP....GHB Selangor jangka ahli PAS keluar parti secara beramai-ramai

SHAH ALAM : PAS akan mengalami kelopongan besar dalam jumlah keahliannya apabila Gerakan Harapan Baru (GHB) Selangor dilancarkan akhir bulan.

Penyelaras GHB Selangor Ir Izham Hashim berkata pelancaran itu akan mencetuskan ahli PAS keluar beramai-ramai menyertai pergerakan baru itu.

“Anda akan terperanjat melihat pada hari pelancaran, jumlah cawangan dan bahagian PAS yang akan bubar,” katanya di sidang akhbar pelancaran GHB Selangor, hari ini.

ADUN Hulu Klang, Saari Sungib dan Morid, Hasnul Baharuddin turut hadir sidang akhbar diadakan di sebuah hotel di sini.

Kedua-dua ADUN itu digantung oleh PAS selama setahun berikutan krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu.

Izham yang juga ketua PAS Kelana Jaya berkata, keseluruhan cawangan PAS Selangor akan menyertai GHB Selangor secara besar-besaran.

Katanya, bahagian GHB dalam kesemua 22 kawasan  Parlimen Selangor sudah ditubuhkan.

“Bahagian dalam negeri lain juga sudah ditubuhkan dengan Johor memiliki jumlah terbesar ahli PAS menyertai GHB, diikuti oleh Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor,” kata Izham.

Beliau menambah, beberapa wakil rakyat PAS Selangor dengan ‘rahsia’ menyatakan minat untuk menganggotai GHB.

“Kami tidak paksa mereka. Mereka secara sukarela membuat perpindahan itu. Mereka boleh menentukan sendiri pilihan terbaik untuk kerjaya politik mereka,” tambahnya.

Terdapat 13 wakil rakyat PAS di Selangor tidak termasuk Saari dan Hasnul.

Dalam lain hal, Izham berkata GHB mungkin bertanding menentang PAS di Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tindakan ini dilakukan jika wujud keperluan besar untuk melakukannya dan hanya selepas ia dibincang secara terperinci dengan rakan parti komponen lain.

“Kami akan lakukan jika rakan kami, DAP dan PKR, bersetuju dan akan tidak mengambil tindakan itu jika tiada keperluan bertanding menentang PAS,” tambahnya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment