Monday, August 17, 2015
Jika Benarlah Kedah Akan Dapat Menteri Besar Baru
EDITOR MENULIS...
17 OGOS 2015
Berbual mesra dengan rakan-rakan serta kenalan yang tinggal di Kedah yang mana juga tinggal berjiran dengan negeri Pulau Pinang, rakan-rakan yang tinggal di Pulau
Pinang yang telah 'dijajah' DAP selama dua penggal berturut-turut ini
agak cemburu dengan rakyat di negeri Jelapang Padi itu kerana berjaya
bernaung kembali di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sememangnya saya agak rapat dengan beberapa rakan di negeri Kedah,
termasuk yang bekerja di dalam organisasi Badan Perhubungan UMNO Negeri
itu sejak negeri tersebut 'ditawan' di bawah DAP dan PAS pada tahun 2008
dahulu.
Namun, desas-desus yang kedengaran di laman-laman Facebook berkenaan
politik Kedah baru-baru ini menarik perhatian saya untuk mengulas.
Apatah lagi ia membabitkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah
merangkap Menteri Besar di negeri itu, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Menerusi desas-desus di Facebook lewat kebelakangan ini, timbul pihak
yang menjangka beberapa Menteri Besar di negeri di bawah naungan Barisan
Nasional akan digantikan. Khabarnya, nama Mukhriz dijangka turut
tersenarai. Begitulah lebih kurang bunyinya desas-desus berkenaan.
Sebenarnya, saya mengikuti juga perkembangan Mukhriz Tun Mahathir
sejak beliau menjadi Exco Pemuda UMNO dahulu lagi. Malah ketika beliau
mengharungi pertarungan tiga penjuru merebut Ketua Pemuda UMNO dahulu,
saya turut meninjau keupayaan Mukhriz. Tapi, itu cerita lama ketika
beliau membawa slogan 'berani berubah'.
Ketika beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri MITI oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mukhriz turut diamanahkan jawatan
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah. Ketika itu,
Kedah berada di bawah 'jajahan' PAS.
Seorang rakan di pejabat UMNO Negeri Kedah mengatakan pejabat Mukhriz di
tingkat 6 berhabuk, menandakan beliau jarang masuk ke pejabatnya.
Bersangka baik, mungkin beliau 'sangat sibuk' dan lebih selesa untuk
bergerak dari rumah keluarganya di Titi Gajah sahaja.
Peliknya, rakan saya itu mendakwa bahawa Mukhriz kurang berperanan
sebagai 'panglima' UMNO Kedah ketika itu dan hanya pulang sekali-sekala
untuk memenuhi program politik. Beliau dikatakan hanya pulang kira-kira
setahun sebelum PRU ke-13 untuk 'menggempur' PAS dengan sebuah program
besar di Tasik Pedu. Itu saja.
Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah ketika itu, Dato' Seri Ahmad
Bashah Hanipah pula seolah dibiarkan Mukhriz untuk berseorangan menerima
'sepak terajang' politik dalaman dan luaran parti di samping berhempas
pulas mencari dana politik untuk UMNO Negeri itu.
Namun, mungkin sudah rezeki beliau walaupun beliau kurang berjasa untuk
menawan Kedah dan memenuhi permintaan ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad,
setelah negeri itu berjaya ditawan BN semula, Mukhriz akhirnya dilantik
menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.
Merujuk pada perkembangan karier Mukhriz itu, fakta tersebut menunjukkan
bahawa jawatan yang sedang disandang anak Tun Dr Mahathir itu adalah
merupakan jawatan lantikan atas budi bicara Presiden UMNO dan Perdana
Menteri, bukannya dipilih secara demokrasi. Itu jelas.
Itu membawa maksud, lantikan sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO adalah hak prerogatif Presiden UMNO dan Perdana
Menteri, bukan? Jadi, adalah menjadi hak kepada Najib untuk menukar atau
menggantikan individu di jawatan tersebut, bukan?
Atas dasar tersebut, mahu atau tidak, suka atau tidak suka, saya
perlu menyokong tindakan Najib sekiranya beliau benar-benar akan menukar
Mukhriz dari jawatan berkenaan. Sama ada saya sokong Mukhriz atau
tidak, saya harus terima dan hormati hak prerogatif Najib itu.
Seandainya benar desas-desus itu, saya berharap benar, janganlah ada pihak
tertentu yang bertindak menghina atau mengutuk Mukhriz dengan kecaman
yang menyakitkan hati. Beliau juga manusia yang punya perasaan, bukan?
Dan sebaliknya, saya juga berharap agar Mukhriz sendiri dan para
penyokongnya tidak bertindak serupa, 'menyerang' Presiden dan UMNO itu
sendiri secara tidak berhemah serta tidak mengikut saluran yang
sepatutnya.
Di zaman bapa Mukhriz dahulu, pemimpin atau ahli UMNO yang besifat
sedemikian selalunya akan 'dibenam sedalam-dalamnya' hingga tidak mampu
bangun lagi dalam parti. Saya tidak mahu itu berlaku terhadap Mukhriz
di masa akan datang.
Secara peribadi, saya mengharapkan Mukhriz kekal sebagai Menteri
Besar Kedah untuk sepenggal ini hingga PRU ke-14 nanti. Biarlah beliau
mentabdir dengan tenang untuk sepenggal ini...
Jika mahu ditukar pun, biarlah hanya melibatkan jawatan Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Negeri Kedah sahaja kerana dikhabarkan dari sumber
bahawa jentera parti itu sedang 'lena diulit intan'. Khabarnya, daftar
pemilih pun hanya 30 orang saja untuk tiga bulan, benarkah?
Pada pandangan saya, adalah menjadi satu kerugian sekiranya ketokohan
Mukhriz dipersia-siakan pihak kepimpinan. Malah pada pandangan saya,
tempat Mukhriz sebenarnya lebih sesuai dan terbaik untuk ditonjolkan di
peringkat Kerajaan Pusat, bukan di peringkat Kerajaan Negeri.
Justeru itu, sekiranya Najib mengekalkan jawatan Mukhriz, saya ingin
berpesan kepada beliau supaya jaga Kedah sebaik-baiknya kerana belum
tentu lagi negeri itu akan terus ditadbir di bawah kerajaan Barisan
Nasional pada penggal depan.
Sekiranya Mukhriz membiarkan Kedah tewas dan 'dijajah' kembali oleh PAS,
maka selepas ini mungkin nama beliau akan tercemar sebagai pemimpin
UMNO yang gagal mempertahankan pentadbiran BN di Kedah, sekaligus
mengotorkan nama bapanya sendiri..
Kalau ditanya pada sahabat taulan saya yang berada di Pulau Pinang dan Kedah, tatkala berkongsi kisah keperitan berada di bawah pentadbiran selain BN, hanya Allah yang
Maha-Mengetahui (menurut mereka). Kita semua juga boleh melihat sendiri sudah dua penggal hidup rakyat di Pulau Pinang merana akibat pemerintahan DAP juga dapat meilhat Pulau Pinang hampir hancur 'diSingapurakan' oleh Guan Eng.
Maka, Sayanglah
jika Kedah kembali ke tangan PAS, bukan?
Sekadar mengutarakan pandangan... selebihnya... anda fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment