Saturday, August 22, 2015

Najib Umum PPPAN Khusus Untuk Penyelengaraan Projek Perumahan Rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (PPPAN) khusus untuk menyelenggara Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang kini berjumlah lebih 100,000 unit di seluruh negara.
 
Perdana Menteri berkata, penubuhan itu berkuat kuasa serta-merta bagi menggantikan fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menghadapi kekangan kewangan untuk menyelenggara serta menguruskan PPR berkenaan
Najib berkata, penubuhan agensi itu juga akan memudahkan pembangunan semula dilaksanakan di kawasan PPR pada masa akan datang sekiranya wujud keperluan tersebut.
‘‘Apabila diletakkan di bawah PPPAN, maka kita yakin bahawa projek-projek PPR dapat dikendalikan dengan lebih baik dan sempurna termasuk penambahbaikan yang boleh dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyaksikan pertukaran dokumen antara Maybank dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Perjanjian itu membabitkan kemudahan pinjaman penyambung berjumlah RM3 bilion untuk membiayai sebahagian daripada kos pembangunan projek kediaman dan komersial di bawah program PR1MA Homes.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Perumahan Negara di bangunan yang sama.
Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, mesyuarat bersetuju supaya mekanisme pelepasan rumah kuota bumiputera di pasaran ditambahkan tempohnya selama tiga bulan lagi menjadi sembilan bulan.
“Jika masih tiada pembeli dalam tempoh tiga bulan terakhir, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan cuba dapatkan pembeli bumiputera,” katanya lagi.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, PPPAN akan menguruskan soal pembinaan rumah kos rendah dan sederhana termasuk PPR yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN).
“Inisiatif tersebut akan membolehkan JPN memberi fokus sepenuhnya sebagai badan yang menguatkuasakan undang-undang dan peraturan,’’ katanya
Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment