Tuesday, August 18, 2015

Parti Pembangkang Bergabung Hanya Untuk Berpecah – Dr Najmil

18 Ogos 2015, Kuala Terengganu : “Pembangkang tidak punyai kekuatan untuk memerintah negara. Malah, perkara paling utama dalam pemerintahan iaitu persepakatan dan perpaduan diantara parti-parti pun mereka tidak dapat pelihara dengan baik. Bagaimana mereka mahu memerintah negara jika diantara mereka pun saling bercakaran,” demikian tegas Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Dr-Najmil-Faiz-Mohamed-Aris
Menurut beliau lagi, sejarah telah memperlihatkan bahawa gabungan pembangkang bermulanya dari Barisan Alternatif sehingga wujudnya pakatan pembangkang inii tidak ada kesudahan yang baik.
“Setiap kali mereka bergabung, akhirnya mereka akan berpecah. Kerana apa? Ini kerana gabungan mereka itu bukanlah benar-benar atas nawaitu untuk membela rakyat, tetapi hanyalah demi kepentingan politik peribadi dan kepartian mereka sendiri saja.
“Dulu ketika mewujudkan Barisan Alternatif, mereka berpecah kerana masing-masing tidak dapat menerima dan menghormati prinsip perjuangan rakan-rakan sekutu mereka. Apabila Pas bertegas mahu melaksanakan hukum hudud dan negara Islam, Dap tidak bersetuju. Akhirnya mereka berpecah.
“Begitu juga hari ini. Atas sebab dan alasan yang sama juga mereka akhirnya berpecah.Tetapi konflik dalam pembangkang hari ini adalah lebih teruk lagi. Konflik antara Pas dan Dap akhirnya telah menyebabkan Pas pecah dua. PKR pula mengalami krisis kepimpinan yang teruk sehingga sanggup memfitnah pemimpin sendiri semata-mata untuk meletakkan kroni di kerusi MB,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Hakikatnya kata Najmil,  pembangkang ini bergabung hanyalah semata-mata untuk berpecah di kemudian hari.
“Pembangkang wujud hanya untuk berpecah. Ini bukan cakap kosong tetapi ini fakta sejarah. Sudah beberapa kali gabungan seperti ini wujud, namun hayatnya tidak lama. Akhirnya mereka berpecah dan menyerang sesama sendiri. Malah, apa yang dikesalkan,konflik politik demi kepentingan peribadi dan parti itu turut mengheret rakyat bersama.
“Lihatlah di Selangor. Apa sudah jadi dengan krisis air yang sehingga ke hari ini tidak selesai. Demi politik, rakyat juga yang menjadi mangsa. Golongan ini tidak kisah apa nasib orang lain semata-mata untuk melaksanakan kehendak dan nafsu politik mereka. Mereka berkonspirasi untuk menipu rakyat. Contoh terbaik ialah Langkah Kajang.
“Untuk menjayakan agenda peribadi Anwar dalam Langkah Kajang, pemimpin mereka sendiri, Tan Sri Khalid difitnah dengan begitu hebat semata-mata untuk menjatuhkan beliau daripada kerusi MB. Inikan pula rakyat Selangor untuk mereka bohongi dalam isu air.
“Setakat untuk manipulasi pemikiran rakyat itu perkara kecil saja bagi puak-puak ini. Apakah golongan seperti  ini, yang hanya tahu berkonspirasi membohongi rakyat demi kepentingan politik peribadi mereka yang kita mahu berikan kuasa untuk memerintah negara?,” soalnya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment