Monday, August 17, 2015

PAS Dah Bercerai, GHB Adalah Bini Baru Saya !!

Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu mengibaratkan organisasi itu seperti bini baharu yang mencukupi pakej cantik, kacak, pandai dan sebagainya.

“PAS dan DAP (sudah) bercerai, kena cari bini baru, kitalah (GHB) bini baru. Cantik, baru, kacak, pandai,” kenyataan Mohamad Sabu dipetik oleh wartawan Astro Awani Channel 501,Asyraf Hasnan.

Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri GHB dan Pelancaran GHB Negeri Selangor di Dewan Teratai, Seksyen 19, Shah Alam pada Ahad.
Mat Sabu berkata GHB terbuka dan sedia menerima siapa sahaja untuk menyertainya termasuk Presiden PAS dan ahli Majlis Syura.

“Siapa sahaja kita alu-alukan menyertai GHB termasuk Presiden PAS dan ahli Majlis Syura. Siapa sahaja,” ujar Mat Sabu kepada pemberita.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas wujud desas-desus yang mengatakan Nik Omar, anak kedua kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai GHB.

Timbalan Pengerusi GHB, Salahuddin Ayub yang turut ditemui pemberita berkata GHB sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk PAS jika wujudnya keperluan di dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang dicanang bakal diwujudkan dalam masa terdekat.

Kata Salahuddin, tugas kepimpinan GHB pada masa kini adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa GHB mampu mengisi kekosongan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Tugas kami hari ini adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa kami mampu untuk mengisi ruang itu. Apabila wujudnya Pakatan Rakyat 2.0 nanti, terpulang kepada kepimpinan dalam PR yang akan kita bincang bersama.

“Itu adalah disiplin kita, etika kita. Sekiranya nanti ada kerjasama ataupun memerlukan parti-parti yang lain, itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden PR,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment