Monday, August 17, 2015
Penganjur Bersih 4.0 Hanya Pentingkan Diri - KPN
BATU PAHAT : Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan
penganjur Bersih 4.0 hanya mementingkan diri kerana sanggup mengadakan
demonstrasi yang akan menjejaskan kehidupan harian orang ramai terutama
peniaga dan pemandu teksi.
Beliau berkata nama Bersih hanyalah sekadar gelaran namun hakikatnya penganjur tidak mahu mematuhi undang-undang.
"Mereka minta 'clean' (bersih) itu, 'clean' ini tetapi diri sendiri
kotor tidak mahu mematuhi undang-undang. Dia tidak mahu menjaga
kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia sahaja, sesuka hati
berhimpun.
"Cuba kita tengok, bila mereka mengadakan perhimpunan semua tutup kedai.
Mereka (peniaga) ini tidak ada hak ke. Jadi, fikirkanlah juga hak orang
lain," katanya mengulas cadangan penganjuran demonstrasi Bersih 4.0 di
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu
(Sabah) pada bulan ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perbarisan
tamat latihan dan pentauliahan Kor Suksis Insitutut Pengajian Tinggi
Awam (IPTA) kali ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di
sini, Ahad.
Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad dan Pengarah Jabatan
Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani
Abdullah Sani.
Khalid berkata, pihaknya juga mendapati penganjuran Bersih tidak lagi
untuk memperjuangkan pilihan raya bersih namun lebih menjurus untuk
menjatuhkan kerajaan.
"Ini saya bagi ingatan ... jika ini tujuan mereka (jatuhkan kerajaan),
polis akan ambil tindakan-tindakan pencegahan dan saya ingatkan
penganjur-penganjur Bersih agar berhati-hati," katanya.
Berhubung pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi semalam bahawa terdapat gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang
didalangi seorang tokoh Umno dengan sokongan anggota Parlimen
pembangkang, Khalid berkata polis sedang memantau perkembangan yang
berlaku ketika ini.
"Jika mana-mana orang dan parti politik cuba menurunkan kerajaan sedia
tanpa mengikut Perlembagaan dan undang-undang (ia kesalahan serius),
kita akan ambil tindakan," katanya.
Berkenaan Kor Suksis, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbang
untuk mengkaji semula silibus latihan bagi memantapkan lagi pasukan itu.
Sebanyak 1,026 pelatih Kor Suksis menerima sijil tamat latihan pada majlis itu.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment