Thursday, August 20, 2015
Penjawat Awam Tak Bayar PTPTN Mungkin Dibuang Kerja...
Ancaman dibuang kerja dan kenaikan pangkat disekat terhadap kakitangan
dan pegawai Kementerian Pendidikan sekiranya tidak membuat pemotongan
gaji bagi membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) adalah tindakan tidak perikemanusiaan.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata keputusan itu membuktikan
sikap hipokrit Kerajaan Persekutuan apabila bersungguh-sungguh menuntut
hutang PTPTN yang melibatkan 51,884 guru tetapi mengambil ringan dalam
isu hutang yang melibatkan 1MDB.
“Lebih hipokrit lagi memandangkan cara kerajaan menangani kemelut
pinjaman hutang 1MDB yang berkali-kali menunda bayaran hutangnya dan
menggunapakai lingkaran pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam melunaskan
penjualan hartanah dan perluasan perniagaannya.
“Rakyat wajib melawan dasar pincang sebegini. Saya seru para guru
bersuaralah, jangan biarkan hipokrasi dan penindasan ini berterusan.
“Kerajaan BN di bawah Najib boros berbelanja, bebas berhutang dan dengan
tanpa rasa bertanggungjawab memindah beban hutang kepada rakyat, kini
guru. Inilah masa untuk bersuara dan melawan ketidakadilan ini,” kata
Nurul Izzah.
Katanya lagi, pemotongan gaji sepatutnya dilaksanakan terhadap Pengurus
Eksekutif dan pengurusan tertinggi 1MDB terlebih dahulu apabila gagal
menguruskan hutang membebankan rakyat dan negara terlebih dahulu sebelum
melaksanakan pemotongan gaji pemimjam PTPTN.
“Kerajaan menekan golongan pertengahan dan bawahan sementara melindungi
kroni dan golongan elit yang menjadi sebahagian keluarga besar Umno-BN,”
kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.
Terdahulu, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pendidikan
melalui notis pemberitahuan di laman web kementerian itu berkata,
kakitangan dan pegawainya diwajibkan membuat pemotongan gaji untuk
membayar hutang PTPTN masing-masing.
Jelas notis itu, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka
terlibat dikenakan pelbagai sekatan termasuk tidak berpeluang mendapat
kenaikan pangkat, tidak boleh memohon pinjaman kewangan, dihalang
meninggalkan negara malah lebih buruk lagi boleh dibuang kerja.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment