Saturday, August 22, 2015
PR1MA Lancar Pembiayaan Inisiatif Baharu Kepada Bakal Pembeli Rumah
Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) melancarkan inisiatif baharu yang menawarkan akses kewangan lebih mudah kepada bakal pembeli untuk memiliki rumah PR1MA.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, menerusi program bantuan pembelian rumah itu, PR1MA menawarkan tiga inisiatif iaitu program menyewa sebelum memiliki atau Rent to Own (RTO), pinjaman akhir sehingga 110 peratus dan program PR1MA Care.
Beliau berkata, inisiatif mesra pembeli itu akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat golongan pertengahan yang berkelayakan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa perlu bimbang mengenai tahap kewangan masing-masing.
“RTO adalah program pemilikan rumah tertangguh bagi bakal pembeli yang memiliki kadar kredit yang lemah di mana mereka diberi pilihan untuk menyewa selama 10 tahun dalam usaha untuk membina ekuiti deposit yang diperlukan untuk membuat pinjaman bank.
“Terdapat dua jenis skim di bawah program RTO iaitu Basic RTO dan Zero RTO, walau bagaimanapun pilihan menyertai program ini hanya diberikan kepada bakal pembeli yang dipilih dalam proses pengundian sebagai pilihan terakhir selepas permohonan bank mereka ditolak oleh panel-panel bank PR1MA,” katanya dalam sidang akhbar pra pelancaran program bantuan pemilikan rumah PR1MA di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Perbankan Global Kumpulan Maybank, Amirul Feisal Wan Zahir.
Menurut Abdul Mutalib, agenda PR1MA bukan sekadar untuk membina rumah, tetapi juga ingin memperkasakan agenda pemilikan rumah dalam kalangan rakyat yang berpendapatan pertengahan.
Mengulas lanjut katanya, bagi program pinjaman sehingga 110 peratus pula, sebanyak enam institusi kewangan telah bekerjasama dengan PR1MA untuk menawarkan pakej kewangan menarik kepada bakal pembeli.
Katanya, enam bank tersebut ialah Maybank, CIMB, Malaysia Building Society Bhd. (MBSB), Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Islam.
“Pakej kewangan ini termasuk pembiayaan sehingga 110 peratus daripada harga jual dan beli (SPA). Lebih menarik pakej ini ialah tiada bayaran deposit diperlukan yang secara tidak langsung membuatkan proses pembelian rumah lebih mudah dan praktikal.
“Bagi program PR1MA Care pula, pemilik atau pembeli rumah bakal mendapat manfaat dalam bentuk perlindungan pasca pembelian, kadar insurans menyeluruh yang lebih murah serta penjagaan kebajikan yang komprehensif,” katanya.
Sementara bagi pendaftar umum, mereka dapat menikmati manfaat dalam bentuk potongan harga dan promosi eksklusif dengan rakan niaga yang mengambil bahagian di seluruh negara.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment