Wednesday, August 19, 2015
PRN Sarawak Diadakan Pada Bila-Bila Masa Dari Sekarang - Adenan
KUCHING : Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata
Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan pada bila-bila masa selepas
pembentangan bajet negeri 2016 pada November ini.
Menurutnya, pada masa itu juga beliau menjangkakan proses persempadanan
semula kawasan pilihan raya negeri membabitkan 11 kerusi baharu akan
diluluskan di Parlimen menerusi persidangannya Oktober ini.
“Pilihan raya (negeri) boleh diadakan bila-bila masa selepas itu,
selepas saya membentangkan bajet (negeri) pada November,” katanya kepada
The Borneo Post secara eksklusif di sini semalam apabila ditanya adakah
pilihan raya akan diadakan pada tahun ini.
Terdahulu, beliau membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK) Sarawak menerusi persidangan sehari Dewan Undangan Negeri.
Ini merupakan pilihan raya negeri yang pertama bagi Adenan selepas
mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib
Mahmud pada Februari 2014.
Adenan berkata lagi, beliau tidak memandang remeh cabaran yang perlu
dihadapinya pada PRN akan datang. Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri
sekarang akan berakhir pada Jun 2016.
“Sekarang saya kelihatan amat popular, saya tidak riak dengan situasi ini. Saya beritahu orang saya agar tidak riak,” ujarnya.
Mengenai wakil rakyat yang tidak berprestasi baik, beliau menjawab:
“Ada yang perlu pergi (bersara), ada yang memberi petunjuk kepada saya mereka ingin bersara.
“Ada yang memberi bayangan mereka masih mahu satu penggal lagi. Ada juga yang saya perlu pujuk agar mereka menarik diri.”
Mengenai bilangan muka baharu yang akan diketengahkan Barisan Nasional
(BN) pada pilihan raya negeri kelak, beliau berkata sudah pasti ada muka
baharu.
“Ada beberapa muka baharu,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini mengesyorkan kawasan
pilihan raya negeri Sarawak ditambah 11 berbanding 71 pada ketika ini,
menjadikannya 82 bahagian.
Sebelas kerusi tambahan itu ialah Batu Kitang (N.13), Stakan (N.17),
Serembu (N.18), Triboh (N.23), Gedong (N.26), Kabong (N.40), Telian
(N.57), Selirik (N.63), Murum (N.66), Samalaju (N.70) dan Long Lama
(N.78).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment