Sunday, August 02, 2015
Teka Teki Agenda Di Sebalik Provokasi Melampau DAP Terhadap PAS...
Mengapa DAP memberi tekanan politik yang teruk kepada PAS akhir-akhir
ini? Adakah kerana hendak berkempen untuk calon tertentu menang dalam
pemilihan parti itu dalam Muktamar PAS 4 hingga 6 Jun ini. Atau ada ada
agenda lebih besar lagi?
Benarkah serangan bertubi-tubi DAP pada batang tubuh Presiden PAS Datuk
Seri Abdul Hadi Awang ada kaitan dengan pilihanraya negeri Sarawak yang
dijangka akan diadakan tidak lama lagi.
Untuk rekod, DAP Sarawak sudah lama memutuskan hubungan dengan PAS
negeri tapi itu tidak cukup kuat untuk tarik undi Bumiputera bukan Islam
di Sarawak menyokong DAP.
DAP sudah membolot hampir 85 peratus undi kaum Cina di Sarawak dalam
pilihanraya negeri lepas, dan hanya menang 12 dari 71 pada 2011.
Peningkatan sekali ganda berbanding 2006 yang menyaksikan DAP hanya menang enam kerusi DUN.
Tanpa PAS sebagai gandingan dalam Pakatan, DAP dan PKR punya tawaran
lebih menarik kepada Bumiputera bukan Islam di negeri tersebut.
Ada pemerhati politik yang menilai boleh jadi sebab itulah PAS diserang
bertubi-tubi dengan sasaran DAP adalah Abdul Hadi dan Hudud.
Bagi Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz,
Pakatan akan berpecah jika DAP terus memberi tekanan kepada PAS.
Anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat ini beri kata dua DAP perlu
menghentikan polemik serangan terhadap PAS agar parti itu kekal berada
di dalam pakatan pembangkang.
"Kalau PAS main rentak DAP, makin jadi pecahlah," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat, Rabu.
Beliau turut senada dengan anggota PAS yang lain yang tidak berpuas hati
dengan tindakan DAP terus menyerang peribadi kepimpinan ulama termasuk
presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Bagi saya, kalau semakin DAP serang ulama seperti presiden (Abdul
Hadi), semakin orang (anggota parti) simpati kerana hendak mengundi
bukan DAP, tetapi ahli PAS. Tak tahulah kalau DAP mahu Haji Abdul Hadi
kekal (presiden) senang hendak keluar Pakatan Rakyat," katanya sinis.
Mengenai provokasi DAP cabar PAS bertindak keluar pakatan pembangkang
dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional (BN), beliau
menyifatkan ia sebagai 'muslihat politik' dan yakin parti itu tidak akan
mengambil tindakan sedemikian.
"Saya tak suka isu yang dibangkitkan DAP diperbesarkan. DAP banyak
merujuk kepada isu hudud dan isu PAS nak sertai BN, sedangkan bagi kita,
presiden saya sendiri yang saya faham isu ini tiada dan tidak
berbangkit.
"Pertama sekali, saya sebut isu hudud ini bukan sepatutnya isu yang
boleh memecahkan Pakatan Rakyat," katanya sambil berharap pimpinan
tertinggi PAS mempunyai langkah untuk meredakan keadaan itu.
Pada Ahad lepas, Penasihat DAP Lim Kit Siang dilapor membayangkan tiga
parti komponen dalam pakatan pembangkang iaitu DAP, PKR dan PAS, tidak
akan wujud lagi dalam tempoh dua minggu, sekali gus menggambarkan
pakatan itu kini di ambang perpecahan.
Kenyataannya jelas merujuk kepada pemilihan PAS yang dikatakan bakal dikuasai oleh golongan ulama.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta Haji Hadi keluar
dari Pakatan Pembangkang jika mahu meneruskan hasrat membentangkan Rang
Undang-undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah
II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Dewan Rakyat.
Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula
dilaporkan berkata PAS Kelantan tidak menolak kemungkinan tindakan DAP
yang akhir-akhir ini banyak menghentam Abdul Hadi adalah satu provokasi
mendesak PAS keluar daripada pakatan pembangkang.
DAP, katanya, tidak sepatutnya bertindak demikian jika benar-benar memikirkan kepentingan bersama dalam pakatan tersebut.
"Jika dilihat dari sudut yang negatif boleh jadi DAP sengaja membuat
provokasi ini untuk mendesak PAS keluar daripada PR. Boleh jadi...,"
katanya.
Mohd Amar berkata sikap yang ditunjukkan DAP itu terlalu keras dan mencetuskan ketegangan perasaan semua anggota parti.
"Perbezaan pendangan satu perkara yang kita tidak boleh lari dalam
pakatan ini...kita pun tahu. Kita dan DAP ada aspek berbeza, cuma
sekarang ini tindakan DAP ini sudah lebih," katanya.
"PAS juga mempunyai perasaan. Kalau berlaku apa-apa lepas ini DAP tidak
boleh menyalahkan PAS. Kemungkinan itu banyak. Dia (DAP) kena bersedia
dan jangan salahkan sesiapa lepas ini," katanya.
Mohd Amar yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat berkata sehingga kini
PAS berpegang kepada penggunaan bahasa yang cermat demi kepentingan
semua parti dalam pakatan itu.
"Kita harap DAP ambil kira perkara sama tetapi nampaknya tidak. Bahasa
yang digunakan itu bagi kita keras dan hina presiden dengan bahasa
kasar... itu kita tidak dapat terima," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment