Thursday, October 01, 2015
AMK, Wanita PKR Desak Wakil PAS Letak Jawatan YDP MAIPP
BUTTERWORTH : Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan Pulau
Pinang pada Selasa mendesak Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mohd
Salleh Man mengosongkan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam
Pulau Pinang (MAIPP) yang disandangnya.
Ketua AMK Pulau Pinang Asrol Sani Abdul Razak berkata desakan itu wajar
kerana PAS tidak lagi bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti
diumumkan Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Beliau berkata pengumuman ketua menteri itu jelas menunjukkan kerajaan
negeri tidak mengiktiraf PAS dalam pentadbiran negeri dan Salleh yang
merupakan wakil rakyat PAS harus mengosongkan jawatan YDP MAIPP.
"Kami mohon supaya kerajaan negeri mencadangkan wakil PKR untuk jawatan
YDP MAIPP itu bagi mengantikan wakil PAS apabila penggalnya tamat akhir
tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata pelantikan setiap YDP MAIPP adalah untuk tempoh dua tahun dan tempoh untuk Salleh dijangka tamat akhir tahun ini.
Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan negeri Nur Zarina Zakaria berkata
jawatan YDP MAIPP wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah
kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Anggota Dewan Undangan Negeri.
Pelantikan YDP MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan
oleh Yang di-Pertuan Agong selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan
negeri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment