Thursday, October 01, 2015
PAS Pertahan Khutbah Hari Raya Aidiladha Pahang
PAS mempertahankan khutbah solat Hari Raya Aidiladha yang dikeluarkan
Jabatan Mufti Pahang Khamis lalu walaupun ketika pemimpin-pemimpin DAP
mengecam teks khutbah tersebut yang didakwa mereka mempunyai unsur
fitnah.
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perak (DUPNPk), Sidek Mohd Noor berkata,
pihaknya telah melihat teks berkenaan dan bersetuju ia tidak berbentuk
fitnah, tetapi nasihat daripada sebuah badan berautoriti di peringkat
negeri yang memperkatakan mengenai Islam dan dipelihara oleh
undang-undang.
Katanya, DUPNPk kecewa apabila ada dalam kalangan pimpinan DAP beragama
Islam berhasrat mengambil tindakan undang-undang ke atas Jabatan Agama
Islam Pahang (JAIP) jika enggan memohon maaf.
"DUPNPk amat kecewa, bagaimana seorang muslim yang beragama Islam
berhasrat menyaman sebuah badan yang berautoriti memelihara dan menjaga
kewibawaan Islam?
"Perkara ini memang amat bertentangan dengan fitrah seorang yang
menghayati Islam," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Khamis lalu, khatib solat Hari Raya Aidiladha di Pahang membaca teks
khutbah yang antara lain menyatakan; "Dewasa ini kita melihat perpecahan
umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara.
"Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan
persaudaraan Islam seperti parti UMNO, PAS, PKR dan ditambah parti baru
yang dinamakan GHB.
"Malahan ada di kalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terang-terang menentang Islam…,".
Susulan khutbah itu, beberapa pemimpin DAP termasuk Penasihatnya, Lim
Kit Siang menyelar isi kandungan teks berkenaan yang didakwanya sebagai
menghina parti itu dan menuntut JAIP meminta maaf.
Namun, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman dilaporkan
menjawab kenyataan balas DAP itu dengan mengatakan, JAIP tidak akan
memohon maaf daripada parti rasis dan cauvinis itu berhubung isi
kandungan khutbah Aidiladha yang dibaca di masjid-masjid di Pahang
Khamis lalu.
Katanya, JAIP bercakap mengenai hal agama dan pihak luar tidak boleh campur tangan.
"Kita tak akan tarik balik khutbah itu. Kita ada hak untuk menyatakan tentang kebenaran Islam," kata Abdul Rahman.
Mengulas lanjut perkara itu, Sidek berkata, salah satu punca terputusnya
hubungan politik (tahaluf siasi) PAS dengan DAP disebabkan sikap keras
dan lantang parti itu terhadap pelaksanaan syariah Islamiah khususnya
dalam isu Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan, walaupun PAS menyatakan
pelaksanaannya hanya kepada umat Islam di Kelantan.
"Di sini DUPNPk ingin menegaskan sekali lagi agar DAP jangan suka campur
tangan urusan Islam, apatah lagi berhasrat mencampuri urusan badan yang
telah diamanahkan menjaga pentadbiran Islam seperti JAIP.
"Dengan penegasan dan kekecewaan ini, kami daripada Dewan Ulamak Negeri
Perak bersolidariti dan memberikan sokongan penuh dengan sikap tegas
JAIP untuk tidak memohon maaf kepada DAP bagi memelihara maruah sebuah
badan yang diberikan amanah menjaga martabat dan kesucian Islam, agama
yang terang dan jelas terpelihara dalam Perlembagaan Negara," katanya.
Beliau turut menasihatkan kepada pimpinan DAP yang beragama Islam atau
bukan Islam, agar membatalkan hasrat serta niat kalian untuk mengambil
tindakkan undang-undang terhadap sebuah badan berautoriti menjaga agama
Islam, supaya mereka tidak dilihat berterusan menentang Islam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment